Sebutir Bom Disita, 9 Suspek DAESH Sah Ditahan


KUALA LUMPUR – Seramai sembilan orang lagi suspek kumpulan militan Daesh termasuk dua penyerang pub Movinda di Puchong, Selangor berjaya diberkas pasukan polis dalam gerakan di empat buah negeri antara 20 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, gerakan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman itu juga telah merampas sebutir bom tangan jenis M67.


Mereka yang ditahan dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Kelantan itu terdiri daripada enam rakyat Malaysia dan tiga warga asing yang berusia antara 17 hingga 56 tahun.

Tiga suspek warga asing itu merupakan bekas tentera, tiga lagi ialah penjual cakera video digital (VCD) cetak rompak, sementara selebihnya masing-masing merupakan operator kilang, pemandu jentolak serta penganggur.

Khalid berkata bahawa dua suspek penyerang premis hiburan Movida Pub & Lounge di Puchong, Jasanizam Rosni dan Md. Saifuddin Muji ditangkap oleh pasukan khas tersebut pada 9 Ogos lalu.

“Mereka telah melarikan diri selepas insiden serangan tersebut dan cuba bersembunyi di sebuah pondok di kawasan berbukit di Kuala Krai, Kelantan sejak awal Julai 2016,” ujar beliau.

Susulan daripada tangkapan mereka, polis berjaya merampas sebutir bom tangan jenis M67 yang disembunyikan di Rengit, Batu Pahat yang disyaki akan digunakan dalam serangan yang dirancang.

Menurut Khalid, seramai dua suspek yang ditangkap di Batu Pahat, Johor dan Kuala Krai, Kelantan disyaki bersubahat menyembunyikan Jasanizam dan Md. Saifuddin.

Seorang suspek berusia 17 tahun yang ditangkap di Sabah, telah menerima arahan daripada rakyat Malaysia yang menganggotai kumpulan Daesh di Syria, untuk melancarkan serangan berdarah di negara ini.

Suspek merancang untuk melancarkan serangan secara bersendirian dengan menyembelih mana-mana orang kafir di sekitar Sandakan.

Selain itu, suspek melalui akaun laman sosial Facebook miliknya, juga telah mengancam untuk membunuh Ketua Polis Negara sendiri.

Tiga suspek warga asing yang ditangkap di sekitar Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2016, disyaki menjadikan Malaysia sebagai transit untuk mendapatkan dokumen perjalanan palsu serta merancang untuk melancarkan serangan di salah sebuah negara di Asia Barat.

Suspek berusia 26 tahun yang ditahan di Johor, merupakan anggota sel yang sama dengan 23 suspek yang ditangkap dalam dua operasi khas pada bulan Julai 2016.

Suspek ini terlibat dalam rancangan untuk melancarkan serangan ke atas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kompleks Kerajaan di Putrajaya.

Sel berkenaan disyaki menerima arahan dari Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan di Malaysia.

Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIa – kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). –Kedahnews.com