Serah Pada SPRM, Kerajaan Negeri Kedah Jamin Beri Kerjasama


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah menegaskan bahawa pihaknya memberikan kepercayaan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sebarang laporan yang dibuat membabitkan kerajaan negeri.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kerajaan negeri tidak akan menyebelahi mana-mana pihak dalam siasatan tersebut dan akan memberikan kerjasama erat sekiranya siasatan tersebut membabitkan kerajaan negeri.

"Kita serah kepada SPRM lah untuk membuat siasatan.. Bagi pihak kerajaan, kita tidak akan menyebelahi mana-mana (pihak).

"Kita akan beri kerjasama kepada SPRM, kalau mereka perlu apa-apa kerjasama daripada pihak kerajaan maka kita akan berilah," tegas beliau kepada wakil media di sini, petang tadi.

Ahmad Bashah menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab bagi pihak kerajaan untuk memastikan kemudahan asas bekalan air seperti mewujudkan loji-loji bagi tujuan menyalurkan bekalan air bersih kepada masyarakat.

Namun jika benar terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu, maka terpulanglah kepada mereka untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa dan kerajaan negeri menyerahkan tanggungjawab kepada pihak berkenaan untuk melakukan siasatan.

Selain itu, Ahmad Bashah mengambil pendirian positif terhadap kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Dzulkifli Ahmad, yang meminta supaya penjawat awam yang terlibat rasuah untuk menyerah diri secara sukarela sebelum tindakan diambil terhadap mereka.

Namun Menteri Besar Kedah itu merasakan adalah agak susah bagi seorang penjawat awam itu tampil mengaku melakukan rasuah melainkan SPRM sendiri bertindak menyiasat mereka dan membawa mereka ke muka pengadilan sekiranya terbukti bersalah.


Pemuda PAS Kedah pagi tadi dilapor membuat laporan kepada SPRM mendakwa kononnya berlaku penyelewengan dana kerajaan melalui projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kg Mani di Kuala Nerang yang siap sekitar 2014 lalu.

Ahmad Bashah ditemui ketika hadir merasmikan Majlis Pelancaran Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-59 peringkat negeri Kedah di ruang legar utama pusat membeli-belah ikonik, Aman Central di sini petang tadi.

Hadir sama mengiringi beliau adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Bakar Din, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, Datuk Tajul Urus Md Zain dan Datuk Suraya Yaakob.

Selain itu, Pegawai-Pegawai Daerah, ketua-ketua agensi kerajaan dan wakil-wakil jabatan utama turut hadir dan menerima penyerahan jalur gemilang untuk dipasang di premis masing-masing sepanjang bulan kemerdekaan ini. -Kedahnews.com