BARU sehari Sukan Olimpik 2016 berlangsung, sudah timbul cerita kurang enak apabila jurugambar News Corp bernama Brett Costello menjadi mangsa rompakan geng terkenal di Rio De Janiero, Brazil.
Akibat insiden yang berlaku pada Jumaat itu, Costello yang ditugaskan merakam gambar Sukan Olimpik 2016, kehilangan peralatan kamera bernilai lebih AS$40,000 (RM161,560).
Menurut Costello, ketika itu dia sedang minum kopi di sebuah kafe di Ipanema dan telah ditegur oleh seorang wanita yang bertanyakan sesuatu.
“Ia berlaku dalam masa 10 saat. Costello tertipu dengan helah seorang wanita tempatan yang mendekatinya untuk mendapatkan bantuan.
“Sewaktu wanita itu bercakap dengan Costello dalam bahasa Portugis, seorang rakannya merampas beg dan melarikan diri dengan masuk ke dalam kenderaan berhampiran yang sedang menunggunya.
“Mereka semua berlari menghilangkan diri dalam sekelip mata sebelum Costello sempat bertindak balas,” petik laporan The Daily Telegraph.
Susulan itu, Costello segera melaporkan kejadian itu kepada pihak tempatan.
Antara bidikan terbaik Costello |
“Saya kaku sebentar dan rasa bodoh kerana tidak menghidu rancangan mereka.
“Saya tahu, saya tidak mungkin akan dapat semula beg atau gear kamera saya. Walaupun apa yang berlaku sangat mengecewakan, saya syukur tidak tercedera atau dicederakan.
“Saya ada berasa sesuatu yang tidak kena tetapi sebelum sempat berfikir apa-apa, beg dan gear kamera saya hilang,” katanya.
Selepas kejadian itu, Costello turut dimaklumkan terdapatnya sebuah kenderaan sedang menunggu di luar kafe untuk melarikan diri.
Tambahnya, polis juga tidak terkejut apabila dengar insiden itu kerana pencuri itu dikatakan sangat licik dan bekerja dalam kumpulan. –Kedahnews.com