Skandal Ini Lebih Serius Dari Skandal Guan Eng - SAMM

PUTRAJAYA – Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berhubung salah guna kuasa dalam isu penukaran status sebidang tanah di Paya Indah Wetlands.

Pengasas organisasi propembangkang itu, Badrul Hisham Shaharin turut menyerahkan bukti-bukti yang mendakwa terdapatnya penyelewengan tanah melibatkan proksi Azmin Ali, kira-kira jam 3 petang Jumaat, di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Menurut Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, Azmin telah meluluskan penukaran status tanah di Lot 68054 seluas 619 hektar daripada pertanian (terhad) kepada kawasan pembangunan.

“Berdasarkan beberapa dokumen kerajaan negeri, tanah itu terletak di kawasan yang dilindungi di mana segala usaha pembangunan telah ditolak.

“Setelah kita siasat, kami dapati isu status penukaran tanah ini melibatkan seorang proksi Menteri Besar. Malah, ada bukti mesej whatapps daripada proksi berkenaan yang juga merupakan Exco kerajaan negeri Selangor.

“Kita telah serahkan semua dokumen dan bahan bukti kepada SPRM. Kita serahkan kepada mereka untuk menjalankan siasatan dengan lebih lanjut.

“Sekarang kita tidak mahu ganggu siasatan, tetapi berharap semua dokumen yang kita serahkan ini menjadi bukti kukuh untuk dakwa Menteri Besar Selangor di mahkamah pengadilan,” katanya memetik laporan media, semalam.


Dalam pada itu, Chegu Bard menyifatkan kes ini lebih serius daripada kes skandal hartanah melibatkan banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan transaksi pertukaran projek perumahan flat murah kepada hotel dan hospital mewah.

Ditanya mengenai isu pemecatannya dalam parti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chegu Bard memberitahu, dia tidak pasti tentang status terkininya namun akan bertemu dengan kepimpinan parti tidak lama lagi.

Pada masa yang sama, Chegu Bard turut telah melancarkan booklet #SkandalAzmin68054 yang mendedahkan semua latar belakang Paya Indah Wetlands, fakta dan bukti penyelewangan yang telah dilakukan oleh menteri besar itu. –Kedahnews.com