Skuad Patrol Denggi SMKTRJ Jadi Harapan

Ahli Skuad Patrol Denggi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ria Jaya yang menyertai kayuhan ke Sekolah Kebangsaan Taman Ria, Sungai Petani.
SUNGAI PETANI – Skuad Patrol Denggi yang baru dilancarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ria Jaya (SMKTRJ) diharap berupaya menjadi saingan dalam pertandingan Patrol Denggi peringkat kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengetuanya, Othman Ahmad berkata, bagi memantapkan peranan skuad sebagai ejen penyebaran maklumat berhubung bahaya aedes dan denggi, ia dipecahkan kepada tiga kumpulan.

“Antaranya, 50 ahli skuad menyertai kayuhan, 40 ahli menjayakan senamrobik dan 30 lagi membuat persembahan melalui ‘coral speaking’ menggunakan matlamat yang sama iaitu mendidik dan meningkatkan kesedaran terhadap pencegahan dan pembasmian nyamuk aedes,” katanya.

Beliau ditemui ketika Program Kayuhan Patrol Denggi dan Pelancaran Skuad Patrol Denggi 2016 di SMKTRJ, Sungai Petani, kelmarin.

Hadir sama menyempurnakan pelancaran, Ahli Parlimen Merbok, Profesor Dr Ismail Daut.

Menurut Othman, selain pelantikan 120 ahli skuad dalam tiga kumpulan berkenaan, keseluruhan 1,346 pelajar SMKTRJ turut terlibat menjadi ejen penyampai terutama bagi memenuhi kriteria pertandingan iaitu dari aspek khidmat komuniti,media sosial dan seni persembahan.

Sumber: Sinar Harian