Suami Isteri Positif Syabu Dicekup Di Tikam Batu

Pasangan suami isteri yang ditahan penguatkuasa AADK.
SUNGAI PETANI - Sepasang suami isteri ditahan kerana positif dadah jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah rumah kampung dekat Tikam Batu, di sini, kelmarin.

Operasi yang melibatkan empat anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Muda itu diketuai Norzarenawati Osman.

Pengarah AADK Kedah, Mohamad Nazer Mustafa berkata, lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai nelayan dan isterinya berusia 33 tahun merupakan suri rumah disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah sejak sekian lama.

Menurutnya, pihaknya melakukan serbuan itu berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam berhubung tindakan mencurigakan pasangan suami isteri berkenaan.

"Pasangan ini mempunyai dua anak masih yang bersekolah berusia 12 dan 14 tahun.

"Pasangan ini dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Mohamad Nazer berkata, ketika ditangkap, pasangan itu juga memberi pelbagai alasan.

“Pada awalnya, mereka mendakwa cuma minum air ketum, selepas itu mereka bagi alasan mengambil dadah untuk elak tidur pada waktu malam kerana buat kerja sampingan bagi jana pendapatan keluarga.

“Bagaimanapun, ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak AADK akan sentiasa menjalankan operasi dari masa ke semasa bagi membantu mereka yang terlibat dengan penagihan dadah menjalani program pemulihan dadah yang disediakan oleh AADK.

“Saya yakin AADK peringkat daerah akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memerangi dadah habis-habisan terutamanya pemimpin serta masyarakat setempat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian