Iskandar (tengah) menerima sumbangan PBKNMK disampaikan Sundra (kanan). |
ALOR SETAR - Seorang wanita dari Taman Seroja, di sini, terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga apabila suaminya mengidap penyakit kanser paru-paru sejak sebulan lepas.
Siti Kartini Abdullah, 37, berkata, mereka sekeluarga kini bergantung kepada pendapatannya kira-kira RM650 sebulan melalui jualan pelbagai kuih muih di gerai berdekatan kediaman.
“Jika dahulu, duit hasil niaga hanya pendapatan sampingan, memandangkan gaji suami, Iskandar Abdullah, 46, sebagai tukang kimpal mencukupi untuk menyara kami enam beranak.
“Bagaimanapun, kini kami hilang mata pencarian utama apabila kesihatan suami mula merosot dan tidak mampu bergerak seperti biasa,” katanya.
Ujarnya, dia buntu memikirkan kos keperluan hidup, ditambah pula tiga dari empat anak berusia antara 13 hingga 18 tahun masih bersekolah.
Menurutnya, dia merayu simpati masyarakat untuk menghulurkan bantuan demi membolehkan suaminya mendapat rawatan susulan.
Kartini berkata, dia terpaksa membuang perasaan malu demi membolehkan Iskandar meneruskan rawatan khususnya kemoterapi.
Sementara itu, Iskandar berkata, dia mengalami batuk berpanjangan selama enam bulan sebelum disahkan mengidap kanser paru-paru sebulan lepas.
“Setiap kali batuk, bahagian dada terasa sangat sakit, malah terpaksa menggunakan ubat sedut asma (inhaler) demi menghilangkan lelah.” katanya.
katanya lagi, dia kini bergantung ubatan untuk menahan kesakitan dan hanya mampu menjamah oat, kerana ada kalanya sukar menelan makanan.
Iskandar berkata, dia kasihan kepada isterinya yang terpaksa berkorban mengambil alih tugasnya menyara keluarga, malah perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada dirinya.
Menurutnya, disebabkan badan lemah dan tangannya tidak mampu diangkat, isteri dan anak sulungnya, Mohd Ishafiq, 18, kini bergilir-gilir menguruskannya.
Penderitaan Iskandar mendapat perhatian Pertubuhan Bantuan Kebajikan Masyarakat Miskin Negeri Kedah (PBKMNK) yang membuat kunjungan ke kediaman keluarga itu, semalam.
Menurut setiausaha PBKMNK, A. Sundralinggam, pihaknya melawat keluarga berkenaan hampir setiap hari.
Menurutnya, mereka bersimpati atas keadaan Iskandar yang perlu mendapatkan rawatan kemoterapi, malah akan menjalani rawatan kedua pada 21 Ogos nanti.
Katanya, pihak mereka sudah menyerahkan borang bantuan untuk diisi Kartini pada Ahad lepas, sekali gus akan berusaha mendapatkan bantuan untuk keperluan perubatan Iskandar.
Sundra berkata, pihak mereka turut menyerahkan sedikit bantuan kewangan dikumpulkan melalui sumbangan ahli persatuan demi meringankan beban keluarga Iskandar.
Bagi mereka berhasrat membantu Iskandar boleh menghubungi keluarga berkenaan melalui talian 0164782711 ataupun sumbangan ke akaun Bank Islam atas nama Kartini (02011021044563).
Sumber: Sinar Harian