Sultan Johor Tarik Gelaran Dato’ Jika "Ponteng" Hari Hol


MERSING – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran akan menarik balik gelaran Dato’ yang dikurniakan Almarhum ayahandanya kepada penerima pingat yang ponteng ke upacara Hari Hol Sultan Iskandar.

Sultan Johor itu bertitah, penerima yang didapati gagal hadir ke upacara memperingati kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar tanpa sebab kukuh dianggap tidak berminat untuk terus menjunjung darjah kebesaran tersebut.

“Suka saya beri peringatan kepada Dato’ Johor yang mendapat darjah kebesaran daripada Almarhum ayahanda saya supaya hadir pada majlis tahlil dan istiadat menziarahi makam sempena Hari Hol pada 6 Safar setiap tahun.

“Sekiranya ada penerima (gelaran Dato’ berkenaan) yang tidak sanggup berkorban masa untuk memperingati Almarhum, maka saya rasa lebih baik sahaja darjah kebesaran tersebut dikorbankan,” titah tegas baginda lagi.

Sultan Ibrahim yang juga merupakan Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas bertitah demikian ketika baginda hadir mencemar duli pada majlis ulang tahun Rejimen Grup Gerak Khas ke-51 di Kem Iskandar di sini pada Khamis.


Titah Sultan Ibrahim, penerima yang disahkan sebagai gagal hadir ke istiadat bersempena dengan Hari Hol Sultan Iskandar perlu memulangkan semula darjah kehormat itu sebagaimana mereka pernah menerimanya dahulu.

Jika ingkar, baginda sendiri tidak teragak-agak akan mengumumkan secara terbuka nama penerima berkenaan sebagai telah ditarik balik darjah kebesaran tersebut yang amat sukar diperoleh di Johor berbanding negeri lain.

Sekadar rekod, pengurniaan gelaran Dato’ di Johor adalah cukup ketat dan setiap tahun hanya beberapa orang menerima darjah kebesaran tersebut, malah banyak kes penerima sedia ada yang ditarik balik atas pelbagai sebab.

Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar untuk tahun ini jatuh pada 6 November depan. Baginda mangkat ketika pukul 7.15 malam pada 22 Januari 2010 lalu dalam usia 77 tahun di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru akibat gering.

Almarhum, yang pernah dimasyhurkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia VIII antara 1984 sehingga 1989; kemudian disemadikan jenazahnya di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru. – Agensi