Keadaan Sungai Karangan yang tercemar. |
KULIM - Penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Karangan di sini, meminta pihak berkuasa memantau keadaan sungai yang dicemari dengan sisa kumbahan dan najis.
Mereka mendakwa sisa kumbahan dan najis itu dibuang oleh warga asing yang tinggal berdekatan sungai berkenaan.
Peniaga, Emumshah Abdullah, 31, berkata, Sungai Karangan mulai tercemar sejak awal tahun ini apabila pekerja warga asing yang menghuni rumah kongsi berdekatan kawasan itu menyalurkan najis dan kumbahan mereka terus ke punca air.
“Sudah lebih tujuh bulan pencemaran sungai ini berlaku. Pekerja warga asing yang tinggal di rumah kongsi itu buang sisa kumbahan dan najis terus ke dalam sungai walaupun ada bilik air atau tandas yang dibina.
“Ada penduduk di Kampung Kuala Sedim masih menggunakan air sungai ini untuk kegunaan termasuk memasak dan mandi,” katanya.
Yahya Ali, 50, pula berkata, keadaan sungai itu juga sudah berubah kalau dulunya bersih kini berbau busuk dan dipenuhi sampah.
“Pekerja asing ini tinggal di seberang sungai sana sahaja, kami tinggal seberang sini, kalau lalu ikut kawasan ini memang bau sangat busuk.
“Nak tengok ke dalam sungai pun tak gamak. Berbuih hitam dan kadangkala ada juga najis, sisa makanan dan sampah yang dibuang ke dalam sungai,” katanya.
Dalam pada itu, Md Noor Saari, 50, turut bimbang dengan pencemaran dan sikap pekerja warga asing yang tidak menjaga kebersihan sungai mengundang pelbagai penyakit kepada penduduk sekitar.
“Sekarang ini sudahlah banyak penyakit berbahaya dan membawa maut, ini kalau pekerja asing tak jaga kebersihan sungai, tak mustahil penduduk sekitar kawasan akan mendapat penularan wabak penyakit lain pula,” katanya.
Katanya, sebelum ini, pihaknya sudah mengemukakan aduan kepada pihak berwajib.
“Sudah lama kami buat aduan termasuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Imigresen Kedah dan kali ini (kelmarin) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) Wilayah Utara serta Indah Water Konsortium (IWK)," katanya.
Sementara itu, Jurutera JPS Kulim-Bandar Baharu, Mohd Idrus Amir berkata, pihaknya sudah mendapat aduan tersebut dan sedang menjalankan siasatan.
“Saya ada mendapat maklumat mengenai masalah itu.
"Kini kami sedang jalankan siasatan dan akan melaporkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian