Tanam Ketum: Pekebun Kecil Raih Pulangan Lumayan - Pengerusi Risda


PASIR MAS – Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin bertegas bahawa hasil tanaman ketum akan memberi pulangan tinggi kepada kira-kira 530,000 pekebun kecil di negara ini.

Mereka mampu meraih pendapatan empat angka jika kerajaan meluluskan penanaman ketum yang dianggarkan mencecah RM1,000 bagi setiap 0.4 hektar tanaman itu dengan tempoh tuaian setiap enam bulan sekali.

“Kita cadangkan penanaman ketum ini sebab ada permintaan dari luar negara. Amerika Syarikat dan Eropah minta kita bekalkan dalam tempoh sebulan ini dan seberapa banyak ketum yang kita ada. Kalau tidak mereka akan minta bekalan dari negara lain.

“Mereka (Amerika Syarikat dan Eropah) guna ketum untuk musim sejuk kerana minum ketum dapat panaskan badan dan dapat mengubati saraf,” katanya kepada pemberita ketika mengulas isu penanaman ketum yang mendapat bantahan pelbagai pihak.

Beliau sebelum itu merasmikan Gerakan Peningkatan Produktiviti Peringkat Negeri Kelantan 2016 di Sungai Keladi yang turut dihadiri Pengarah Risda Kelantan Rusly Yaacob di sini semalam.

Mengulas lanjut, Zahid berkata pelbagai langkah boleh diambil bagi memastikan ketum tidak disalahguna dan dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan atas penanaman pokok itu secara besar-besaran.

“Kalau pekebun kecil tanam ketum dan ada orang nak beli harga RM20 sekilogram (itu disalah guna), tapi kalau Risda bayar US$20, dia (pekebun kecil) nak jual dengan siapa. Kita boleh kawal… contoh kalau jual dekat orang luar, kita kenakan tindakan.

“Tetapi pendek cerita pendapatan pekebun kecil akan bertambah. Takkan mereka nak buat salah kalau dapat pendapatan lebih,” katanya mengenai cadangan Risda menanam ketum.

Dalam pada itu, Zahidi berkata Risda akan memperkenalkan tanaman buah Guarana kepada pekebun kecil bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan untuk berdepan ketidaktentuan harga getah di pasaran dunia.

Beliau berkata projek tanaman Guarana itu akan dilancarkan pada bulan ini di Pulau Pinang dengan sebuah syarikat telah bersetuju untuk membeli buah itu dengan harga minimum RM200 sekilogram sebelum diproses dan dieksport ke Jepun. – BERNAMA