"Tentang Kezaliman, Tegak Keadilan" Hanya Modal Politik Saja - Nik Abduh


KUALA LUMPUR – Seruan menentang kezaliman dan menegakkan keadilan cuma satu modal politik untuk meraih undi rakyat.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, bagaimanapun manusia yang menerima seruan itu sukar untuk melihat keadilan secara menyeluruh.

Justeru, katanya, orang ramai boleh melihat keadaan tunggang langgang di dalam mereka melaksanakan keadilan yang dilaungkan itu.

“Masing-masing mendakwa merekalah wira dan jaguh keadilan. Tetapi apabila diperhatikan, mereka jugalah yang menjadi punca ketidakstabilan dalam kehidupan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Nik Mohamad Abduh memberi contoh Amerika Syarikat dan dunia barat berusaha mempromosi gaya hidup mereka yang melihat kebebasan individu sebagai asas keadilan dan kesejahteraan.

Namun, katanya, dunia barat semakin parah dengan masalah sosial, ekonomi dan kekeluargaan.

“Semakin ditiru gaya hidup mereka, semakin penyakit merebak di dalam masyarakat yang meniru mereka termasuk di negara kita ini,” tegasnya.

Justeru, beliau mengingatkan kezaliman yang sebenarnya adalah apabila manusia menolak Allah S.W.T dalam menjayakan hidup mereka.

Katanya, hakikat tersebut yang menyebabkan PAS kelihatan berbeza dengan parti-parti pembangkang lain dalam menilai keadilan di negara ini.

“Ketika parti-parti lain melihat dan memperjuangkan keadilan dengan pelbagai teori dan cara, PAS kekal dan terus menekankan aspek keadilan terhadap hak Allah S.W.T dan agamanya.

“Maksudnya, bicara keadilan sesama manusia adalah gagal selama mana manusia melihat kehadiran Allah S.W.T sebagai campur tangan yang merosakkan usaha mereka menegakkan keadilan,” katanya. –Kedahnews.com