Tetamu Allah Dari Malaysia Puji Komitmen Tabung Haji


MADINAH – Komitmen tinggi Lembaga Tabung Haji (TH) dalam memberikan perkhidmatan efisien terhadap jemaah haji mendapat pujian jemaah yang melahirkan perasaan puas hati mengenai layanan yang disediakan TH.

Rata-rata jemaah yang ditemui menyifatkan perkhidmatan TH yang diberikan sejak awal sehingga tiba di hotel penginapan di sini adalah yang terbaik.

“Mak cik cukup puas hati layanan Tabung Haji sejak sebelum berlepas sampailah di hotel ni.

“Petugas mereka pun sangat baik dan ramah dalam melayan kami,” kata Salmah Alias, 57.

Salmah yang tiba di sini pada Ahad melalui penerbangan KT06 itu berkata segala masalah mereka sentiasa diambil berat oleh petugas TH.

“Alhamdulillah kami sampai di Madinah dengan selamat dan selesa seadanya,” katanya.

Suaminya Zahari Sulaiman, 60, berkata beliau juga mengucapkan syukur dengan layanan TH.

Katanya beliau juga terkejut apabila sampai di hotel yang begitu selesa dan layanan mesra sebaik sampai.

“Kami diberi sambutan meriah sebaik sampai, yang menghilangkan segala keletihan kami,” katanya.

Bagi Shamsuri Alias, 58, berkata beliau berpuas hati mendapat hotel yang selesa serta makanan yang disediakan kepada jemaah yang disifatkan sebagai terbaik.

“Alhamdulillah bilik sangat selesa dan kami dilayan baik dengan makanan yang disediakan sedap dan berkhasiat,” katanya dan turut terharu melihat petugas TH membantu warga emas yang memerlukan kerusi roda dan melayannya dengan ramah sekali.

“Klinik pun lengkap dan petugasnya pun baik melayan kami,” katanya yang menghidap darah tinggi dan kencing manis itu.

Madinah kini mula menjadi tumpuan jemaah haji seluruh dunia bagi melakukan ziarah dan mengerjakan haji.

Dianggarkan lebih tiga juta umat Islam mengerjakan haji pada musim ini. – BERNAMA