Tiada Pegawai, Anggota PGA Negara Ini Terlibat DAESH


IPOH – Tiada pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di seluruh negara yang dikenal pasti terlibat dengan aktiviti kumpulan militan Daesh.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata bagaimanapun, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan pengaruh Daesh tidak menular dalam kalangan anggotanya.

“Saya mengesahkan setakat ini tidak ada. Namun kita sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengekang penularan fahaman militan Daesh.

Selain itu, kita turut memanggil penceramah agama serta pasukan khas termasuk dari bahagian cawangan khas untuk memperjelaskan keburukan dan tindakan yang akan diambil jika menyertai kumpulan itu,” katanya.

Muhammad Sabtu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sulung ke Kem PGA Briged Utara di Ulu Kinta di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sabtu berkata ketika ini terdapat kira-kira 200 kekosongan jawatan dalam PGA yang mana pihaknya meletakkan harapan agar ia direbut oleh masyarakat Orang Asli.

“Kita memberi fokus kepada pengambilan anggota daripada Orang Asli dalam Batalion 3 dan Batalion 18.

“Sehingga kini, terdapat kira-kira 1,000 anggota terdiri daripada masyarakat Orang Asli di setiap batalion PGA di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA