TMJ Sedang Pertimbang Jawatan Pengerusi Skuad Kebangsaan


KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertimbangkan tawaran untuk menjadi Pengerusi Pasukan Kebangsaan dan Ketua Kongres Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Titah Tunku Ismail, baginda sedang menunggu satu lagi pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Bendahari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebelum membuat keputusan.

“Khairy Jamaluddin telah memberikan formula beliau dan saya telah membentangkan pandangan saya untuk maklumat penyokong semua,” titah baginda dalam satu kenyataan media semalam.

Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bertitah, baginda telah memberi cadangan kepada Khairy Jamaluddin berhubung bola sepak Malaysia seperti berikut:

1. Presiden FAM tidak sepatutnya datang dari golongan keluarga diraja dan mempunyai pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab-kelab yang mengambil bahagian. Beliau juga mestilah seorang yang neutral kepada semua negeri dan kelab-kelab yang mengambil bahagian. Ia bertujuan untuk mengelakkan rasuah dan berlakunya sikap pilih kasih.

2. Pengadil mesti mempunyai sebuah persatuan pengadil yang bebas dan dibiayai oleh kerajaan supaya mereka juga akan dibayar gaji seperti persatuan pengadil di luar negara. Ini adalah untuk menghapuskan sebarang bentuk pilih kasih dan mengelakkan berlakunya campur tangan secara halus daripada pegawai-pegawai tertinggi FAM yang akan mempengaruhi mereka.

3. Presiden dan ahli Exco yang sedia ada mesti digugurkan. Ahli-ahli Exco baru pula perlu terdiri daripada mereka yang berupaya untuk menyumbang dan bekerja demi kepentingan bola sepak negara. Jika mereka tidak mampu, maka mereka perlu berundur dan memberi laluan kepada orang-orang yang berkebolehan.

4. Ketelusan FAM dalam perancangan mereka amat diperlukan dan penyokong mesti dibenarkan sekali-sekala untuk memberi persoalan dan pertanyaan kepada FAM. Penyokong berhak untuk mengetahui apa yang sedang berlaku dalam FAM dan segala matlamat serta hala tuju FAM untuk masa-masa akan datang.

5. Untuk Pasukan Kebangsaan, Malaysia perlu menggunakan khidmat jurulatih luar. Jurulatih dengan latar belakang, pencapaian dan rekod prestasi yang baik. Beliau juga perlu mempunyai pengalaman sebagai jurulatih kelab atau pasukan kebangsaan. Jurulatih tersebut mesti dibenarkan untuk membawa pasukannya sendiri dan melaksanakan apa jua yang telah dirancangkannya. Paling penting, beliau mesti diberikan masa untuk membuat perubahan. FAM tidak begitu berkembang sejak 30 tahun yang lalu dan saya percaya kita perlu berikan masa secukupnya dan ruang yang diperlukan oleh jurulatih baru tersebut.

6. Mesyuarat Exco perlu diadakan dan dilakukan secara penggiliran di setiap negeri dalam negara ini.

7. Semua pasukan yang bertanding perlu mempunyai program akar umbi, stadium dan pusat latihan sendiri yang akan diusahakan oleh kelab. –Kedahnews.com