Tugu Dirasmi Al-Marhum Sultan Kedah Rosak Akibat Vandalisme


ALOR SETAR - Persatuan Sejarah Cawangan Malaysia Kedah meminta pihak berkenaan membaik pulih tugu peringatan tamat darurat di Taman Merdeka, dekat sini yang sudah rosak akibat vandalisme.

Pengerusinya, Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusoff berkata, tugu yang berusia lebih 50 tahun itu dibina sebagai tanda kemenangan dan memperingati berakhirnya 12 tahun zaman keperitan darurat.

Menurutnya, tugu itu dirasmikan oleh Sultan Kedah ke-27, Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid.

"Tugu berkenaan memiliki reka bentuk tersendiri, dilengkapi bumbung seakan-akan berbentuk kubah dan empat penjuru diukir sejarah. 

"Tugu berkenaan memainkan peranan penting kerana membolehkan generasi akan datang mengingati sejarah negara dan titik tolak ke arah kemerdekaan sekali gus menerap nilai cintakan tanah air," katanya.

Namun Wan Shamsuddin berkata, kini keadaan tugu itu amat berbeza kerana sudah kelihatan usang selain banyak kerosakan.

"Pihak kami ada membuat tinjauan dan mendapati tulisan mencatatkan fakta penting seperti sejarah dan tarikh di sisi tugu itu sudah hilang.

"Malah kami juga dapati hanya ada catatan dalam bahasa Cina sahaja, sedangkan ia ditulis dalam tiga bahasa lain iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil," katanya.

"Keadaan berlaku mungkin kebanyakan orang awam yang menggunakan kawasan berkenaan dikhuatiri tidak tahu fungsi dan kepentingan monumen bersejarah tersebut katanya.

Katanya, selain rosak kerana vandalisme, kawasan tugu itu juga dipercayai dijadikan tempat tidur oleh gelandangan.

"Tugu itu perlu dibaiki kerana bukan sahaja tulisan yang hilang, malah warna cat juga tertanggal manakala besi pula berkarat.

"Papan tanda berkaitan tugu ini juga rosak," katanya.

Untuk itu, Wan Shamsuddin berkata, beliau memohon agar monumen sejarah berkenaan dicat semula dan dibaiki bagi meraikan detik bersejarah itu sekali gus meningkatkan semangat nasionalisme.

Sumber: Sinar Harian