UUM Terima 10 Mahasiswa OKU Sesi 2016/2017

Mohamed Mustafa (kiri) beramah mesra dengan Thendabani (dua, kiri) dan Muhammad Farid (tiga, kiri) ditemani Wa Yohana a/p BahNgah (dua, kanan) yang merupakan masyarakat Orang Asli suku Semai.
SINTOK - Seramai 10 pelajar orang kurang upaya (OKU) mendaftarkan diri untuk meneruskan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi sesi pertama 2016/2017.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pelajar istimewa yang terdiri daripada cacat anggota seperti tangan dan kaki, lumpuh, rabun serta percakapan kurang jelas adalah sebahagian daripada 4,114 pelajar yang mendaftar, kelmarin.
 
“Jumlah tahun ini lebih ramai berbanding tahun lalu lima pelajar OKU. Untuk memudahkan pergerakan mereka, UUM menyediakan pelbagai kemudahan seperti bilik penginapan OKU, tandas dan pengangkutan ke kuliah,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, jumlah keseluruhan pelajar OKU di UUM adalah melebihi 20 orang dan mereka berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan.

“Mereka yang terpilih ini memperoleh pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dengan CGPA melebihi 3.00 dan layak diterima masuk ke UUM. Kekurangan diri mereka bukan penghalang untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti pelajar normal lain,” katanya.

Mohamed Mustafa berkata, pihaknya turut menawarkan bantuan kepada pelajar miskin yang tidak mampu untuk melanjutkan pengajian di universiti itu selepas mendapat tawaran.

“Pelajar yang tidak berkemampuan hendaklah datang ke UUM terlebih dahulu untuk daftar masuk, kita akan bantu mereka dapatkan bantuan kewangan daripada Jabatan Zakat. Malah akan pertimbangkan pengurangan yuran pengajian, asrama dan pengangkutan kerana tidak mahu bebankan pelajar sehingga terpaksa ikat perut ketika belajar,” katanya.

Menurutnya, pelajar tidak berkemampuan perlu tampil dan memperjelaskan kedudukan kewangan keluarga sebelum pihaknya melakukan tinjauan bagi membolehkan pelajar layak menerima pengurangan yuran.

“Selain itu, terdapat tiga pelajar Orang Asli turut mendaftar di sini,” katanya.

Dua pelajar OKU yang menghidap cerebral palsy sejak lahir, Muhammad Farid Anuar, 21, dan R Thendabani, 20, berasal dari Johor menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda masing-masing jurusan Pengurusan Acara dan Teknologi Maklumat.

Muhammad Farid berkata, impiannya untuk menjejakkan kaki ke menara gading seperti adik lelakinya yang kini belajar di Universiti Malaysia Sabah akhirnya tercapai.

“Saya sering cabar diri sendiri untuk ke universiti seperti adik, sebagai abang saya mahu buktikan saya juga mampu memperoleh ijazah,” katanya.

Seramai 3,153 pelajar baharu terdiri daripada pelajar perempuan iaitu sebanyak 77 peratus manakala  961 pelajar lelaki (23 peratus), bagi mengikuti 36 program pengajian.

Sumber: Sinar Harian