Video Bapa Adun DAP P. Pinang Terlibat Rasuah Didedahkan

GEORGE TOWN - Bapa kepada seorang Adun Pulau Pinang didakwa meminta “rasuah” untuk “potong barisan” bai mendapatkan unit perumahan mampu milik di negeri itu selepas videonya sedang melakukan perbuatan itu didedahkan, dakwa Gerakan hari ini.

Naib Presiden 1 Gerakan Pulau Pinang I Oh Tong Keong berkata video itu, yang didedahkan di laman web Facebook Penang Kini – menunjukkan seorang lelaki dipercayai individu bernama Lim Keat Seong, bapa Adun Sungai Pinang, Lim Siew Khim sedang “berkelahi” berhubung bayaran “rasuah” itu.

Tong Keong berkata berdasarkan analisis terhadap video itu, Keat Seong didakwa mengutip bayaran untuk unit perumahan itu, tetapi gagal menunaikan janjinya.

“Mereka (pelanggan Keat Seong) diminta membayar RM260 untuk borang dan kemudian “Agent Lim” atau “Uncle Lim” akan mengesahkan mereka akan dapat unit mampu milik itu.

“Namun, berdasarkan video itu, nampaknya pelanggan Uncle Lim meminta semua wang mereka dikembalikan, kerana janji mendapat rumah mampu milik itu tidak ditepati,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Gerakan di sini, hari ini.

Siew Khim, ketika dihubungi berkata beliau akan mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan isu itu.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Kecil Anti Rasuah dan Tanah Gerakan Pulau Pinang, Hng Khoon Leng berkata isu itu bukan perkara baru dan mendakwa menerima banyak maklumat mengenainya.

“Kami terima banyak maklumat mengenainya, tetapi tidak ada bukti.

“Hari ini kami dapat video untuk mengesahkannya. Kami sekarang yakin untuk mengatakan kebanyakan projek perumahan negeri terbabit dengan amalan rasuah,” katanya pada sidang media sama.

Tong Keong sependapat dengan Khoon Leng berkata, orang tengah seperti ini menafikan pemohon yang lebih layak untuk mendapatkan rumah mampu milik.

Mereka menasihatkan sesiapa yang membayar untuk memohon mendapatkan perumahan negeri membuat aduan kepada Gerakan serta-merta atau menghubungi Khoon Leng di talian 012-409-871.

Sumber: FMT