Kayap ialah masalah kulit disebabkan virus sama berlakunya campak atau chicken pox oleh kuman Varicella Zooster.
Individu yang mendapat kayap tidak disebabkan jangkitan daripada individu lain, sebaliknya virus ini diaktifkan semula selepas sekian lama ‘menyorok’ dalam lapisan saraf pesakit. Ia terjadi hanya kepada pesakit yang pernah mendapat demam campak.
Selapas dijangkiti demam campak, virus Varicella ini ada kala ‘menyorok’ dan tidak dapat dikesan oleh sistem imunisasi badan pesakit.
Virus ini menyorok dalam lapisan saraf pesakit. Apabila tiba masa tertentu, ia diaktifkan semula dan simptom kayap bermula. Tiada jangka masa tertentu di mana virus ini diaktifkan semula.
Pada mulanya pesakit akan mengalami simptom seperti demam biasa. Badan berasa panas dan lesu. Sengal badan dan juga kebas pada bahagian badan tertentu.
Namun pada peringkat awal ini, tiada ruam kelihatan. Selain rasa kebas, pesakit juga mengalami rasa pedih, sakit seperti tercucuk jarum dan panas.
Rasa itu berlaku pada bahagian tertentu di badan sahaja. Lazimnya pada muka, bahagian depan atau belakang dada pesakit. Ini adalah jaringan saraf yang biasanya virus Varicella menyorok.
Selang beberapa hari, ruam mula kelihatan. Ruam ini sama dengan ruam demam campak, iaitu seolah-olah gelembung air tetapi sangat pedih. Ruam yang terbentuk berlaku pada satu bahagian badan sahaja, sama ada sebelah kiri atau kanan.
Ia tidak akan mengelilingi badan pesakit. Ini membezakan kayap dengan jangkitan kulit yang lain. Rawatan awal sebaiknya dalam masa 72 jam selepas ruam timbul sangat penting. Ini terutamanya bagi ruam yang terbentuk pada bahagian muka.
Rawatan awal dengan mengambil ubat anti-virus dapat mengurangkan risiko komplikasi. Jika saraf pada bahagian muka, ia boleh membabitkan jaringan saraf seperti mata dan selaput mata. Ia berisiko menyebabkan buta.
Bagi virus yang menyebabkan saraf pada bahagian telinga pula, risiko mendapat gangguan pendengaran hendaklah difahami. Untuk mengesahkan seseorang mempunyai kayap, pemeriksaan klinikal oleh doktor di klinik sudah memadai.
Jenis ruam dan kedudukan ruam yang setempat dan menjalar mengikut jaringan saraf tertentu boleh dikenal pasti. Ujian darah juga boleh dilakukan untuk pengesahan. Tiada ujian seperti sinaran X-ray atau imbasan diperlukan.
Lazimnya ruam ini kelihatan dari hari ketujuh hingga 10 hari. Selepas itu ruam akan mengecut dan terbentuk keruping. Keruping itu akan tertanggal dan meninggalkan parut. Akan tetapi, cetusan rasa sakit pada bahagian itu mungkin kekal untuk beberapa minggu.
Sumber: Dr Hanafiah Bashirun/myMetro