GAMBAR menyayat hati seorang kanak-kanak lelaki yang diliputi debu dan mengalami cedera parah akibat letupan bom di Aleeppo, Syria kini tersebar menerusi media sosial ke seluruh dunia.
Insiden yang berlaku kepada Omran Daqneesh mengundang simpati dan amarah netizen terhadap serangan udara yang dipercayai didalangi tentera Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad.
Mangsa yang berusia lima tahun dan mengalami kecederaan dilihat sedang duduk berseorangan atas kerusi dalam sebuah ambulans selepas dia diselamatkan, manakala nasib ibu bapanya sehingga kini masih belum diketahui.
Meskipun menyedari dahinya cedera dan berdarah, dia tidak menangis, malah duduk senyap dan membiarkan keadaan dirinya dirakam lensa jurugambar media antarabangsa.
Mungkin Omran sendiri tidak memahami apa yang sedang berlaku di sekelilingnya, ataupun mungkin dia percaya yang realiti di hadapannya hanyalah satu mimpi.
Rakaman video berdurasi dua minit itu dipercayai dimuat naik oleh seorang doktor yang bertugas di kawasan bergolak itu.
Penyelamat dilihat menyelamatkan empat lagi kanak-kanak sebelum mereka dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Menurut laporan stesen CNN, tiga orang maut dan sekurang-kurangnya 12 yang lain cedera dalam serangan yang berlaku pada Rabu.
Lebih 250,000 orang maut dan jutaan yang lain terpaksa menjadi pelarian apabila konflik Syria berlanjutan bertahun-tahun lamanya.
Aleppo telah lama menjadi medan perang antara regim Presiden Bashar dengan kumpulan pemberontak. –Kedahnews.com