Wajib Tampal Setem Cukai Rokok Mulai 1 Oktober


KUALA LUMPUR – Bermula 1 Oktober 2016, semua pengilang rokok tempatan wajib menampal setem cukai rokok pada kotak rokok keluaran tempatan.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu kenyataan media berkata, tempoh peralihan penggunaan setem cukai rokok secara berperingkat bermula 1 Ogos 2016 hingga 30 September 2016.

“Kotak-kotak rokok yang telah ditanda dengan cetakan dakwat keselamatan hanya dibenarkan berada di pasaran sehingga 31 Mac 2017.

“Selepas pada tarikh itu, pihak pengilang hendaklah menarik balik semua kotak-kotak rokok yang belum dijual daripada pasaran,” kata kenyataan itu semalam.

Tegas JKDM, pengilang yang gagal berbuat demikian boleh dikena tindakan di bawah Seksyen 74, Akta Eksais 1976 rokok-rokok tersebut akan dirampas.

Tambah kenyataan itu, pihak pengilang boleh juga didakwa di bawah Seksyen 89 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Jelas JKDM, antara tujuan penggunaan setem cukai rokok untuk rokok keluaran tempatan bagi mematuhi standard antarabangsa dengan menggunakan setem cukai bagi tujuan kutipan duti eksais rokok.

“Ia juga bertujuan mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana setem cukai rokok dilengkapi dengan keupayaan ‘Track and Trace’ agar rantaian bekalan tembakau boleh diawasi secara berkesan serta bertujuan memelihara dan melindungi hasil negara,” kata kenyataan itu. –Kedahnews.com