"Wanita Besi" Mogok Lapar 16 Tahun Dibuang Keluarga


"Wanita Besi" India, Chanu Sharmila telah menamatkan mogok laparnya selama 16 tahun pada Selasa lalu namun mengejutkan apabila keputusan berkenaan telah ditolak oleh penyokongnya.

Lebih menyedihkan apabila ibunya, Sakhi Devi, enggan menerima Sharmila.

Dia telah diboikot oleh keluarganya sendiri hinggakan Sakhi enggan bertemu anaknya itu.

“Ibu saya enggan membenarkan Sharmila balik ke rumah kerana dia tidak memenuhi janji yang dibuatnya 16 tahun lepas,’’ kata abangnya, Singhajit Singh.

Ia ternyata sesuatu yang mengejutkan dan memandangkan dia tidak diterima oleh sesiapapun, Sharmila tiada pilihan kecuali balik semula ke sel khas di JN Hospital.

Selain tiada tempat untuk dituju, Sharmila dimasukkan ke sel berkenaan bagi memudahkan pemantauan dijalankan ketika dia mula mengambil makanan pepejal.

Pada 9 Ogos lalu, Sharmila telah merasa secubit madu dengan jarinya sebagai simbolik bahawa dia telah menamatkan mogok laparnya selama 16 tahun.

Sharmila, 44 tahun, dijulang ramai sebelum ini kerana menjadil simbol kepada penentangan terhadap keganasan di timur laut Manipur, India. Dia menolak makanan sejak November 2000.

Beliau memulakan mogok lapar itu selepas 10 orang awam dibunuh oleh tentera di Manipur. Memandangkan Sharmila enggan makan, maka dia didakwa cuba membunuh diri, iaitu satu perbuatan yang diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah di India.

Sejak itu juga Sharmila telah dipaksa makan dengan menggunakan tiub.

Namun selepas 16 tahun, beliau menukar pendirian untuk makan semula bagi membolehkannya bertanding pada pilihan raya negeri yang dijadualkan pada 2017. -Kedahnews.com