Warga Asing Ditahan Beramai-Ramai Depan Bank Di Sg Petani


SUNGAI PETANI - Seramai 23 warganegara Kemboja termasuk‎ tiga wanita ditahan ketika berkumpul di hadapan sebuah bank di Jalan Bakar Arang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 petang, polis menerima aduan daripada orang ramai yang memaklumkan mengenai sekumpulan warga asing berkumpul beramai-ramai di kawasan tersebut.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kesemua mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun itu mendakwa melarikan diri daripada majikan.   

"Namun, ketika diarah mengemukakan pasport dan dokumen perjalanan yang sah, masing-masing gagal berbuat demikian," katanya kepada Bernama di sini.   

Katanya polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah. - Bernama