Pada awal Januari tahun ini, statistik dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merekodkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai dalam tempoh 8 bulan pertama tahun lalu dengan kadar penceraian 156 pasangan Islam bercerai setiap hari.
Statistik mengejutkan itu menzahirkan kerapuhan institusi rumahtangga khususnya di kalangan umat Islam di negara ini, tidak termasuk kes-kes penceraian membabitkan pasangan bukan Islam. Ternyata, ia sangat membimbangkan ramai pihak.
Jika ditanya pada si suami, maka sudah tentu jawapannya cenderung menyalahkan si isteri dan begitu juga sebaliknya sekiranya soalan yang sama diajukan kepada si isteri. Masing-masing enggan mengalah dan menyalahkan antara satu sama lain.
Menjadi pendebatan hangat di antara kaum Adam dan Hawa tentang punca-punca yang menjadi faktor penyebab penceraian, namun selalunya perdebatan itu menyebelahi dan didominasi kaum Hawa.
Ekoran itu, hanya kelemahan kaum Adam sahaja yang menjadi topik perbualan hangat ekoran sifat semulajadi golongan lelaki yang dikatakan 'malas peduli' dan lebih gemar mengambil pendekatan berdiam diri serta 'malas bertengkar'.
Namun begitu, dapat dikenal pasti beberapa faktor penting yang menjadi punca seseorang lelaki itu mengambil keputusan sama ada menceraikan isteri, berlaku curang terhadap isteri atau lebih sinonim diistilahkan sebagai "makan luar".
Berikut di bawah disenaraikan faktor-faktor yang melibatkan golongan isteri sebagai penyebab penceraian;
1. Enggan layan kehendak seks suami.
Kebanyakan isteri memberi alasan letih bekerja dan menguruskan rumahtangga untuk tidak melayan kehendak seks suami. Ada yang mengaku "hilang selera" terhadap suami mereka, mengalami "menopause" dan masalah kesihatan.
Islam mewajibkan seorang isteri untuk memenuhi kehendak seks suaminya dan itu menjadi alasan kepada kaum lelaki untuk "makan luar" setelah gagal dipenuhi keinginan di ranjang.
2. Isteri curang.
Di zaman serba internet ini, penceraian disebabkan faktor isteri curang semakin tinggi. Dengan wujudnya rangkaian media sosial, semakin mudah kecurangan itu berlaku di samping golongan isteri yang tidak mempunyai pegangan agama yang kuat. Mereka mudah terpedaya dan meminati lelaki lain selain suami mereka di luar sana.
3. Sikap malas.
Boleh dikatakan lebih separuh isteri di zaman ini tidak mahir memasak, tidak cekap mengemas rumah dan bersikap malas menguruskan rumahtangga mereka. Sikap itu berbeza dengan sikap wanita di zaman dulu di mana golongan isteri walaupun bekerja, mereka tetap hebat memasak, rajin bangun awal lagi mengemas rumah, mahir lipat kain baju dan langsung tidak mengeluh memerlukan "bibik" untuk menguruskan rumah sendiri.
4. Materialistik.
Di zaman moden ini, rata-rata wanita memandang tinggi kepada kebendaan dan kekayaan si lelaki. Jika suami itu berduit dan mewahkan isteri, maka si isteri akan sayang padanya. Sebaliknya, jika kaya sekalipun, namun tidak mewahkan kehidupan si isteri, maka tunggulah "pembalasan". Akibatnya suami berkemungkinan besar kecewa dan mengambil pendekatan "makan luar".
Selain itu, ada juga kes yang melibatkan isteri mendesak mahukan set persalinan 30 jenis warna untuk baju, seluar dan aksesori. Malah faktor gaji suami yang rendah dari isteri juga menjadi isu. Malah ada yang bercerai sebab suami mereka tidak berikan wang untuk shopping!
5. Isteri enggan dandan diri untuk suami.
Isteri-isteri di zaman ini lebih gemar menghias diri jika mahu keluar rumah. Mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam bersolek depan cermin jika mahu keluar "shopping". Tapi jika duduk di rumah, mereka kononnya lebih selesa berbaju "kelawar' dan mukanya ditempek dengan bedak sejuk atau pencuci kosmetik.
Di rumah, mereka jadikan "workshop" atau "spa" memulihkan diri supaya tampil cantik dan menarik di pandangan orang ramai di luar. Padahal mereka sepatutnya berhias, seksi dan berdandan untuk suami dan tidak berhias ketika keluar rumah buat tatapan lelaki lain.
6. Tidak beri perhatian kepada suami.
Suami tidaklah meminta si isteri sujud padanya. Namun ada isteri yang beranggapan bahawa bertanyakan suami mereka sudah makan atau belum adalah cukup untuk menandakan mereka peduli pada suami. Sedangkan ia tidak cukup bagi seorang suami itu.
Suami merupakan "raja" atau "khalifah". Seorang isteri di zaman Rasulullah SAW dulu disabdakan masuk lebih awal ke dalam syurga mendahului puteri baginda, Fatimah Az-Zahra'. Tidak hanya menyambut suami dengan senyuman di pintu rumah, bukan hanya makan minum yang sedia terhidang, malah wanita itu bersiap seksi bersedia jika suaminya berkehendakkan layanan seks darinya! Ada isteri yang berbuat demikian atau mengambil contoh melayan suami mereka seperti itu di zaman ini?
7. "Bijak" memberi alasan.
Isteri yang terlalu "bijak" memberi alasan untuk tidak memberi layanan terhadap suami mereka selalunya akan "menang" dalam banyak situasi. Namun begitu, mereka perlu ingat bahawa mereka akan "tewas" jika suami mereka "makan luar" akibat bosan dengan alasan-alasan "bijak" mereka itu.
Antara alasan yang popular adalah "busy" kerja, nak buat kerja rumah, nak basuh dan lipat pakaian, anak siapa nak jaga?, tak cukup tidurlah semalam, anak buat perangai, penat memasak, keluar "shopping" sekejap, letih baru balik "shopping", saya nak rehat sekejap dan banyak lagi.
8. Leka dengan media sosial.
Tangan dan minda mereka tidak lekang dari telefon pintar yang dibeli suami mereka. Ketika beli telefon pintar yang harga beribu ringgit itu, kononnya untuk memudahkan mereka hubungi suami tercinta. Lepas dapat telefon pintar mahal, mereka lebih berminat berkomunikasi dengan rakan Facebook, Instagram atau Whatsapp, malah ada yang mengambil kesempatan berduet dengan lelaki lain di aplikasi smule!
Jika berkomunikasi dengan suami pun, kiriman Whatsapp yang dihantar kepada suami lebih banyak berbentuk luahan kemarahan, mengkritik, menghina, mengungkit, berleter dan memperlekeh suami mereka. Jarang-jarang sekali dikirim pesanan romantis melainkan jika si suami belikan sesuatu yang berharga buat mereka.
9. Terlalu cemburu.
Sikap terlalu cemburu isteri turut menjadikan golongan Adam dalam keadaan serba salah dan kadang kala merasakan diri mereka dikongkong. Ada di kalangan isteri yang tergamak menetapkan peraturan dan garis panduan tertentu kepada suami mereka. Hinggakan jalan di shopping kompleks perlu tunduk, mesti berwajah serius dan jangan senyum di khalayak umum dan ada yang lebih rela suami mereka kelihatan selekeh dengan pakaian yang tidak terurus.
Kononnya supaya tidak ada perempuan lain yang akan memikat suami mereka di luar. Telefon bimbit suami diperiksa setiap hari. Dompet suami turut diperiksa selain poket seluar yang diselongkar. Minyak wangi pula dilarang sama sekali untuk suami, tapi isteri pula melaram harum semerbak setiap kali keluar rumah!
10. Suka berleter dan perlekeh suami.
Budaya mengumpat dan bercerita hal ehwal suami dengan rakan-rakan juga cukup sinonim dengan golongan isteri terutama di tempat kerja atau bertemu dengan rakan-rakan mereka. Masing-masing berkongsi keburukan-keburukan suami mereka. Hasil "perbincangan" atau "resolusi"nya akan dibawa pulang ke rumah untuk dijadikan bahan leteran yang panjang.
Ada dua kemungkinan respon balas dari pihak suami atas leteran tersebut iaitu sama ada pasangan itu akan bertengkar hebat atau suami akan mengambil pendekatan berdiam diri, malas layan. Jika insiden seperti ini kerap berlaku, maka tidak hairan si suami akan mengambil pendekatan "makan luar" dengan alasan "mencari ketenangan hati".
Sepuluh faktor kelemahan isteri di atas adalah digarap berdasarkan hasil pembacaan dan fakta-fakta yang pernah diketengahkan berdasarkan statistik serta kajian yang pernah dijalankan oleh pelbagai pihak, jabatan, agensi, pihak berkuasa, ahli akademik dan sebagainya.
Ia tidaklah bertujuan untuk memperlekeh kaum Hawa yang sememangnya tinggi darjatnya di dalam Islam, namun ia lebih kepada pengetahuan atau peringatan kepada golongan tersebut supaya menyedari kelemahan mereka yang menjadi punca ramai golongan wanita diceraikan.
Selain itu, faktor-faktor tersebut wajar dijadikan iktibar dan garis panduan kepada para muslimah untuk memperbaiki diri serta menghindar diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya terhadap suami masing-masing.
Berikut di bawah disertakan 15 tips bagi para isteri "menambat" suami bagi mengelak mereka dari "makan luar"; -Kedahnews.com
1. Sentiasa mencintai dan menghormati keluarga suaminya seperti mana dia menghormati dan menyayangi keluarganya sendiri.
2. Sentiasa menjaga aurat daripada pandangan yang bukan muhrimnya dan pandangan matanya sendiri. Tidak membenarkan lelaki bukan mahram memasuki rumahnya ketika ketiadaan suami.
3. Isteri sedia menjadikan suami sebagai ketua dalam rumahtangga mereka.
4. Isteri sedia memberikan kesetiaan, ketaatan dan kepatuhan kepada suaminya selagi suruhan suami tidak bertentangan dengan perintah agama.
5. Isteri sedia memberikan layanan dan kasih sayang yang sepenuhnya sehingga membuatkan suami berasakan rumah tangganya adalah tempat untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagian dari sebarang masalah kerja.
6. Isteri yang sentiasa menjaga rahsia dan maruah suaminya. Begitu juga dengan maruahnya sendiri ketika ketiadaan suami.
7. Isteri perlu bijak menguruskan harta suami dalam berbelanja dengan kadar sederhana dan tidak membazir.
8. Isteri yang sedia menerima pemberian suami dengan penuh keikhlasan dan kerelaan. Isteri tidak meminta sesuatu yang suaminya tidak mampu menunaikan.
9. Isteri yang sentiasa bersyukur dan tenang, sama ada menerima nikmat atau pun dugaan daripada Allah. Sedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, serta perintah Allah dengan tabah dan sabar.
10. Berdiam diri sambil mendengar sewaktu suami bercakap.
11. Isteri yang sedia melayani dan memenuhi kehendak batin suami sewaktu diperlukan.
12. Sentiasa menghias diri apabila di hadapan suami dan sebaliknya pula apabila ketiadaan suami.
13. Sentiasa mendahulukan keperluan suami daripada keperluannya sendiri.
14. Sentiasa bersikap malu kepada suaminya, bersopan santun dalam perkataan dan juga perbuatannya.
15. Menemani suaminya ke muka pintu sewaktu hendak keluar dan menyambutnya dengan senyuman sewaktu suaminya pulang. - Kedahnews.com