1/19 Wanita Di Malaysia Berisiko Hidap Kanser Payudara


KANGAR – Seorang daripada 19 wanita di Malaysia mempunyai risiko terdedah kepada kanser payudara sepanjang hayat mereka.

Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Dr Norin Azna Shamsuddin berkata setiap wanita terdedah kepada musuh utama mereka itu sebaik mencecah usia 20 tahun.

“Memandangkan rawatan sedia ada belum berkesan 100 peratus, maka pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa anda,” katanya selepas menyampaikan ceramah ‘Kesedaran Mengenai Barah Payudara’ di Istana Arau di sini, semalam.

Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

“Luangkan masa menjalani ujian saringan kesihatan khas untuk wanita di hospital berdekatan seperti ujian mamogram dan pap smear kerana penyakit menyerang tidak kenal sesiapa, status dan usia,” kata Dr Norin Azna.

Di akhir ceramah, hadirin disajikan dengan‎ pertunjukan peragaan busana Muslimah khas dan eksklusif koleksi terbaru jenama HHSK Designs, rekaan dan keluaran puteri sulung Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen, Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. – BERNAMA