SINGAPURA - Seorang penyambut tetamu, Lysandra Damara Tefinkjian, mempunyai minat mendalam terhadap ikan duyung.
“Saya selalu menonton The Little Mermaid dan kali terakhir adalah minggu lepas, malahan ada di kalangan kenalan yang memanggil saya ikan duyung,” kata wanita berusia 24 tahun itu.
Lysandra adalah salah seorang daripada 14 finalis, serta 61 wanita yang menyertai pertandingan sulung Ratu Duyung 2016 di Singapura.
Pertandingan ratu cantik ini bermula pada 2014 di Jerman, ia terhasil apabila Ketua Eksekutif agensi Euromodel, William Balser, melakukan penggambaran bersama model berpakaian seperti ikan duyung.
Setelah pertandingan asalnya mendapat pengiktirafan antarabangsa, pelbagai peserta diterima dari merata dunia seperti Australia, Thailand, Filipina dan Mexico.
Pertandingan Ratu Duyung Singapura 2016 ini dianjurkan syarikat pengurusan acara, Eplanet.
Pemenang akan membawa pulang hadiah tunai sebanyak $2,000 serta produk kecantikan daripada pihak penaja dan seterusnya akan bertanding di peringkat antarabangsa yang akan berlangsung di Soma Bay, Mesir bulan depan.
Orang ramai boleh menyaksikan peserta dinobatkan sebagai pemenang di Village Hotel Changi, 1 Netheravon Road dari pukul 7 hingga 10 malam pada Selasa.
Peserta bakal menyarungkan ekor ikan duyung yang diperbuat daripada bahan seperti polikarbonat dan neoprena.
Fokus utama pertandingan ini adalah pemuliharaan dan peserta bakal menjadi sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar iaitu Nature Society (Singapore) Horseshoe Crab Rescue & Reserch Proggramme.
Aditi Rane, pelajar senireka fesyen di Lasalle College of the Arts tidak asing dengan tema hidupan marin ini kerana dia pernah menjadi duta belia Underwater World Singapura ketika di sekolah dahulu.
“Fokus utama seorang sukarelawan adalah terhadap pemuliharaan tetapi untuk mempengaruhi orang ramai terhadap perkara ini sangat sukar. Jika saya memenangi pertandingan ini, saya akan menggunakan pengaruh tersebut untuk perkara ini.
Bagi remaja berusia 19 tahun ini, ia sudah jadi kebiasaan baginya untuk berenang.
“Pada mulanya ia agak pelik tetapi lama kelamaan, saya selesa dengan perkara ini," katanya.
Finalis yang berusia dari 18 hingga 26 tahun, bakal dinilai berdasarkan kriteria seperti rupa, kemahiran temu bual di mana mereka berkongsi tentang pemuliharaan dan pengetahuan am, kreativiti dalam menghiasi kostum ikan duyung, kemahiran berenang untuk mengharungi cabaran di dalam air, bakat seperti menari, dan ‘posing’ di dalam air.
Toh Zhen Yu, 23, seorang usahawan dan penyelamat bertauliah yang mengajar peserta untuk berenang gaya ikan duyung.
“Ia akan menjadi lebih mudah untuk berenang di dalam kostum itu jika mengetahui asas kemahiran tersebut. Tetapi fokusnya lebih kepada penggunaan otot teras dan kaki serta tangan,” katanya.
Sumber: mStar