16 Pelajar SMK Syed Ahmad Keracunan Makanan

ALOR SETAR – Enam belas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Ahmad di Kuala Nerang dekat sini mengalami keracunan makanan setelah dipercayai makan nasi lemak yang dijual di luar kawasan sekolah, petang semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Padang Terap telah menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada guru sekolah terbabit pada pukul 9.10 malam.

Beliau berkata enam pelajar lelaki serta 10 pelajar perempuan yang berumur antara 13 hingga 16 tahun mengalami gejala keracunan makanan seperti muntah dan sakit perut.

“Tiga belas pelajar telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala tiga yang lain hanya mengalami gejala yang ringan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Norhizan berkata pihaknya telah mengambil sampel lebihan nasi lemak dan sambal ikan bilis daripada penjual terbabit.

Katanya penjual terbabit juga telah diberikan amaran dan tidak dibenarkan menjual makanan sehingga didapati mematuhi peraturan pengendalian makanan yang telah ditetapkan. – BERNAMA