2 Batang Gigi Emas Nenek Dilarikan Perompak Di Sarikei

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang menimpa seorang wanita warga emas apabila dia dirompak di Sarikei, Sarawak, pada Selasa lalu.

Bukan sahaja kehilangan buku akaun dan barang kemas, malah dua batang gigi emasnya juga telah dilarikan perompak tersebut.

Mangsa, 70, dilaporkan mengalami kecederaan akibat diseret oleh kenderaan yang dinaiki dua penjenayah itu selepas terjatuh ketika sedang bergelut dengan mereka.

Menurut Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superitendan Mat Jusoh Mohamad, mangsa pada mulanya disapa oleh seorang wanita yang tidak dikenali dengan alasan mahu meminjam buku akaun bagi mengeluarkan wang kebajikan miliknya.

Walau bagaimanapun, mangsa dikatakan telah menolak permintaan tersebut sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna merah.

“Hasil siasatan awal turut mendapati bahawa mangsa telah dipaksa untuk menanggalkan dua gigi emas miliknya dan anting-anting yang dipakai juga dirampas perompak tersebut,” kata Mat Jusoh.

Mangsa kemudian ditinggalkan di sebuah kawasan sunyi berhampiran Jambatan Nyelong, sebelum kedua-dua suspek melarikan diri.

“Mangsa cuba menahan kenderaan suspek, namun terjatuh hingga menyebabkannya mengalami kecederaan. Bagaimanapun, keadaannya dilaporkan beransur pulih,” tambahnya.

Mat Jusoh juga mengesahkan bahawa gerakan mengesan kedua-dua suspek tersebut sudah dilancarkan. –Kedahnews.com