2 Pembantu Penguatkuasa JPJ Kulim Direman 4 Hari

Dua suspek dibawa keluar selepas mendapat perintah reman dari Bilik Reman Mahkamah Sungai Petani.
SUNGAI PETANI - Dua pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kulim direman empat hari, bermula semalam.

Pendaftar Kanan Mahkamah Sungai Petani, Balkhis Abdul Halim, membenarkan reman  bermula 23 hingga 26 September ini ke atas dua suspek lelaki berusia 34 tahun untuk disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Suspek yang diiringi pegawai SPRM, tiba di Bilik Reman Mahkamah Sungai Petani, di sini, jam 10 pagi, sebelum  keluar kira-kira jam 10.30 pagi sejurus perintah tahanan reman dikeluarkan ke atas mereka, semalam.

Media sebelum ini melaporkan dua pembantu penguatkuasa JPJ Kulim ditahan di Kedah dalam Operasi Khas oleh SPRM Perlis dan Kedah bersama Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya yang dijalankan serentak, pagi kelmarin.

Dua suspek itu ditahan oleh pegawai SPRM di pejabat mereka bertugas di JPJ Kulim antara jam 11.30 pagi hingga 12.10 pagi.

Mereka ditahan dan dibawa ke pejabat SPRM Sungai Petani untuk disiasat berhubung kes rasuah dipercayai meminta suapan antara RM100 hingga RM300 daripada pemandu lori membawa lebih muatan  di sekitar Kedah.

Kes itu disahkan oleh Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Sumber: Sinar Harian