3 Buah Kenderaan Bertembung, 5 Maut Di Padang Lumat

SUNGAI PETANI - Dua lagi disahkan meninggal dunia menjadikan keseluruhan lima maut dalam kemalangan melibatkan sebuah teksi dan dua buah kereta di Jalan Alor Setar-Sungai Petani berhampiran Batu 16, Padang Lumat dekat sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata kemalangan kira-kira 9 malam tadi itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Iswara dinaiki tiga lelaki memasuki laluan bertentangan ketika dalam perjalanan ke Sungai Petani.

Beliau berkata kereta terbabit kemudian bertembung dengan sebuah teksi jenis Nissan Sentra dinaiki tiga sekeluarga.

"Pelanggaran itu menyebabkan teksi terbabit berpusing dan dilanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Persona," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya pemandu teksi, Ooi Guan Seng, 72, serta pemandu kereta Proton Iswara, Ahmad Arif Othman, 27, bersama penumpang kereta itu, Mohamad Azzmi Azizan, 32, maut di tempat kejadian.

Beliau berkata isteri Ooi, Tai Cheng Kee@Teh Suan Kee, 69, dan kakaknya Ooi Lian Choo, 76, pula disahkan meninggal dunia di Hospital Yan kira-kira 11 malam dan 3 pagi tadi. 

Muhamad Halim berkata seorang lagi mangsa iaitu penumpang belakang kereta Iswara, Hajir Ibrahim, 53, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Katanya pemandu Proton Persona, seorang lelaki berusia 29 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. – Bernama