Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia memberi ganjaran penerbangan percuma sepanjang hayat kepada semua atlet kelainan upaya negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik, Rio Brazil.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes melalui Twitter dan laman Faceboknya, yang turut mengucapkan tahniah atas kejayaan tiga atlet paralimpik negara yang berjaya menyumbang pingat emas dalam tempoh 24 jam.
Malaysia setakat ini mengumpul tiga pingat emas, masing-masing daripada Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter T36 (celebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli menerusi acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) serta Abdul Latif Romly melalui acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran).
Lebih manis apabila tiga atlet paralimpik itu turut memecahkan rekod kejohanan dan dunia. Tony pada 24 Ogos lalu mengumumkan AirAsia akan menghadiahkan penerbangan percuma sepanjang hayat kepada semua atlet ASEAN yang memenangi pingat Emas pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Manakala pemenang pingat perak dan gangsa dari rantau ASEAN turut diberikan penerbangan percuma masing-masing untuk tempoh 5 dan 2 tahun.
“Atlet yang layak akan dapat terbang ke lebih 120 destinasi dalam rangkaian meluas AirAsia dan AirAsia X di Asia, Australia, Timur Tengah dan Afrika,” katanya yang dipetik Bernama, bulan lalu.
Semalam, Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, seunit kediaman suite dan kenderaan SUV Kia Sportage akan dihadiahkan kepada Ridzuan dan Ziyad. – Kedahnews.com