38 Saman Di Ops Samseng Jalanan Depan Masjid Zahir

ANTARA penunggang motosikal yang ditahan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dalam Ops Samseng Jalanan di Dataran Masjid Zahir. - Foto Ihsan PDRM
ALOR SETAR – Polis mengeluarkan 38 saman dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di hadapan Dataran Masjid Zahir, awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, Supt. Zahari Mohamed berkata ia melibakan pemeriksaan ke atas 64 motosikal dalam operasi yang bermula pukul 12 tengah malam hingga pukul 3 pagi.

“Pelbagai kesalahan direkodkan iaitu tidak memiliki lesen, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan mengubah suai motosikal,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kebanyakan daripada mereka yang diperiksa berumur 16 hingga 21 tahun, dan seorang daripada mereka iaitu remaja lelaki berusia 19 tahun didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Operasi mengesan mat rempit yang tertumpu di dataran itu melibatkan 30 anggota polis dari IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar. – BERNAMA