8 Anggota "Pasukan Khas" DAESH Diberkas Polis - Ayob

Kumpulan pengganas bersenjata DAESH tidak pernah kenal erti putus asa untuk terus mengancam negara ini walaupun cubaan beberapa kali mereka ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terbaru, Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman dilaporkan telah berjaya menahan lapan individu yang dipercayai anggota kumpulan militan berkenaan.

Memetik laporan The New Straits Times, seramai lapan rakyat Malaysia itu dipercayai baru pulang dari Syria dan bercadang melancarkan serangan untuk kumpulan itu di negara ini.

Pengarahnya, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sedang menyiasat pergerakan sekumpulan penyokong Daesh yang menganggap diri mereka sebagai pasukan khas yang dilatih untuk menyelesaikan misi di negara ini.

Katanya, dua daripada mereka merancang untuk menyerang Putrajaya sementara yang lain mahu menyerang tempat pertemuan Freemason di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan bahan letupan.

Turut ditahan seorang remaja berusia 18 tahun yang mempunyai pengalaman menetang rejim Syria.

Ayob menjangkakan lebih ramai anggota Daesh akan pulang ke negara masing-masing termasuk Malaysia susulan tindakan keras Syria terhadap kumpulan militan pengganas ini.

Sejak 2013, sebanyak 13 cubaan penganas dilaporkan termasuk tujuh kes yang ditahan bersama bahan kimia, bahan letupan dan peluru.

Kawasan tumpuan serangan pengganas ini adalah pusat hiburan, kilang pengeluaran alkohol, premis kerajaan dan premis yang membabitkan produk luar negara. – Kedahnews.com