"Ada Yang Tuduh Saya Gatal, Curi Suami Orang"


Penyanyi Elizabeth Tan, 23, memberitahu bahawa segala kritikan dan gosip yang berkaitan dengannya menjadi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan single ketiganya yang berjudul Tabah.

Elizabeth berkata, pengalaman yang dilalui sejak bergelar selebriti telah menjadikan dirinya lebih tabah dan kuat berbanding dahulu.

“Lagu Tabah bukan sebab putus cinta. Tetapi mengenai diri saya yang pernah dihentam dengan pelbagai perkara sejak berada dalam industri.

“Banyak sangat gosip tentang saya  sehingga ada yang tuduh saya gatal, curi suami orang dan tak boleh menyanyi sehingga mengganggu mental saya.

“Sekarang saya boleh katakan yang saya sudah menjadi lebih tabah selepas melalui semua itu,” katanya kepada mStar.


Tambahnya, kini dia lebih matang dalam menangani kritikan dan akan melihat segala yang dikatakan kepadanya daripada sudut positif.

“Saya lihat kritikan dan hentaman dengan cara yang matang. Jika apa yang dikatakan benar, saya ambil dari sudut positif.

“Jika hanya mahu menyakitkan hati, saya akan buat tidak tahu. Saya tidak akan layan,” katanya.

Elizabeth juga mengakui akan menghadiri beberapa kelas latihan termasuk kelas vokal untuk memperbaiki mutu nyanyiannya. –Kedahnews.com