Adnan Diminta Pertimbang Semula Keputusan Tak Bertanding

KUANTAN – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob diminta mempertimbangkan semula hasratnya untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden Belia Generasi Glokal Bentong, Amir Rozaini Ahmad Rani berkata kepimpinan Adnan yang dapat menstabilkan keadaan, khususnya politik di negeri ini penting untuk memastikan kelangsungan pentadbiran berjalan dengan baik.

“Secara dasarnya, keputusan beliau perlu dihormati dan menunjukkan beliau tidak bersikap terlalu mementingkan jawatan yang menjadi rebutan ramai pihak.

“Bagaimanapun, hasrat itu tidak sesuai pada masa kini kerana keadaan politik semasa di negara kita,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Pada 9 Sept lalu, semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh, Adnan menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang selepas memegang jawatan sebagai menteri besar selama 18 tahun.

Adnan yang telah 30 tahun menjadi wakil rakyat bagaimanapun tidak mahu isu itu diperbesarkan dan menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Amir Rozaini berkata seorang wakil rakyat seharusnya diberikan peluang untuk terus berkhidmat selagi beliau mempunyai kesihatan dan kemampuan untuk berbuat demikian serta mengambil kira jasanya dan pandangan rakyat. – BERNAMA