Agong Enggan Campur Tangan Politik PPBM


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah menjelaskan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Perdana menteri berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang telah menerima menghadap Mahathir yang juga penasihat PPBM di Istana Anak Bukit, Kedah, minggu lepas.

“Dalam pertemuan itu, baginda mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir.

“Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong turut menjelaskan kepada Tun Dr. Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat oleh PPBM,” kata Najib dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, ini kerana deklarasi dibuat PPBM tidak mengikut perlembagaan dan sebarang tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim iaitu melalui Parlimen dan sistem pilihan raya bagi rakyat membuat keputusan. – BERNAMA