Ahmad Bashah Mampu Galas Tugas MB Dengan Baik - Pemuda UMNO


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah amat diyakini mampu menunaikan tanggungjawab beliau sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, konsep MUAFAKAT yang diterapkan Ahmad Bashah dalam mengemudi Kerajaan Negeri dan UMNO Negeri, beliau amat teliti dan serius dalam setiap keputusan.

"YAB Menteri Besar sentiasa fokus dan mampu menjalankan tugas beliau sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan.

"Tiada istilah 'one man show' di dalam pertadbiran kerajaan negeri, semuanya diasaskan atas 'permuafakatan' dan semangat 'berpasukan'.

"YAB Menteri Besar adalah seorang ketua yang serius dan teliti di dalam setiap keputusan yg beliau ambil," tegasnya ketika dihubungi Kedahnews.com, hari ini.

Jelas Shaiful Hazizy, tahap kesihatan Menteri Besar itu kini semakin baik dan masih mampu untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan, cuma beliau perlu menjalani beberapa rawatan susulan sahaja.

"Menteri Besar berada di dalam keadaan sihat dan mampu melaksanakan mandat parti dan negeri, cuma pada ketika ini beliau perlu menjalani rawatan susulan dan pemeriksaan rutin dihospital," jelasnya.

Menurut beliau lagi, Ahmad Bashah kini sedang memberi tumpuan untuk mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di negeri Kedah dan beliau diyakini mampu mencapai sasaran itu nanti.

"Segenap tenaga dan perhatian diberikan oleh beliau untuk mengekalkan kuasa Barisan Nasional di negeri Kedah dan saya yakin Dato' Seri Ahmad Bashah akan melakukan yang terbaik demi membalas kepercayaan YAB Perdana Menteri yang beliau galas ketika ini," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Ahmad Bashah hari ini mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di ibu negara.

Jelasnya, sebelum mempengerusikan rutin mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, Menteri Besar berkenaan bertemu dengan Yang DiPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga merupakan Sultan Kedah.

"Jadi jelas bahawa Datuk Seri Ahmad Bashah komited dan mampu menjalankan tugas dengan baik selaku Menteri Besar Kedah. Kesihatan beliau pun makin baik dan saya yakin beliau mampu menggalas tugas dengan baik.

"Pada pandangan saya, bukan setakat menjelang PRU ke-14 sahaja, malah saya yakin beliau mampu bertugas sebagai Menteri Besar Kedah selepas PRU ke-14 nanti.

Selain itu, Syed Mohd Johan Rizal turut membidas tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar spekulasi kononnya tahap kesihata Ahmad Bashah semakin terjejas dan terlantar di wad hospital.

"Semua itu karut. Entah siapa yang dengki sangat sebarkan cerita tidak betul tentang Menteri Besar kita. Beliau semakin sihat, tapi mereka kata masuk hospital? Itu tidak betul. Ingatlah bahawa memfitnah itu berdosa besar.

"Janganlah berpolitik dengan menabur propaganda fitnah. Nak berpolitik, berpolitiklah cara Islam dan matang. Jangan cemarkan budaya orang Kedah dengan budaya negatif sebegitu," tegasnya ketika dihubungi.

Ahmad Bashah merupakan "artitek" yang bertanggungjawab merampas kembali Kerajaan Negeri Kedah dari penguasaan PAS pada PRU ke-13 dengan menyatukan semua UMNO Bahagian di seluruh negeri bersatu-padu bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN.

Namun begitu, beliau akur dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang memilih Dato' Seri Mukhriz Mahathir untuk menjadi Menteri Besar biarpun beliau sebenarnya yang mengemudi kejayaan tersebut.

Semalam, sumber rapat Putrajaya menafikan spekulasi liar siaran akhbar berbahasa Inggeris, The Star, tulisan pengarangnya, Joceline Tan, yang mendakwa kononnya Mohd Najib akan melakukan pertukaran bagi jawatan Menteri Besar, termasuk di negeri Kedah. -Kedahnews.com