Ahmad Bashah Sihat, Laksana Tugas MB Dengan Baik - Exco


ALOR SETAR - Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah disifatkan sebagai dalam keadaan terbaik untuk menjalankan tugas beliau mengemudi Kerajaan BN Negeri Kedah meskipun ditohmah kononnya bakal berlaku pertukaran jawatan Menteri Besar Kedah.

Exco Kesihatan Kerajaan Negeri, Dato' Dr Leong Yong Kong berkata, Ahmad Bashah dalam keadaan sihat dan cergas ketika mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam di ibu negara.

"Menteri Besar adalah sihat dan cergas. Semalam memang ada mesyuarat Exco dan amalan biasa bagi Menteri Besar mengadap Tuanku Sultan Kedah dan jemaah sebelum mesyuarat exco . Beliau cukup fit untuk tugas Menteri Besar," jelas Dr. Leong kepada Kedahnews.com ketika dihubungi sebentar tadi.


Sementara itu, Exco Inovasi, Komunikasi dan ICT Kerajaan Negeri, Dato' Norsabrina Mohd Noor menjelaskan bahawa tahap kesihatan Ahmad Bashah adalah baik, tidak seperti yang diviralkan pihak tertentu di media sosial sebelum ini.

Katanya, Menteri Besar Kedah telah mengarahkan semua Exco Kerajaan Negeri supaya lebih memberi tumpuan terhadap agenda melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri dan memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat di negeri Kedah.

"Kesihatan YAB Menteri Besar sangat stabil dan baik sekarang ini. Tidak ada komplikasi seperti yang telah digembar-gemburkan. Perkara yang diviralkan kononnya YAB Menteri Besar di Prince Court (Medical Centre) dan sebagainya adalah mainan media sosial semata-mata.

"Kami telah menyelesaikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam setelah YAB Menteri Besar mengadap jemaah pemangku Sultan Kedah dan Yang DiPertuan Agong di Istana Negara.

"YAB Menteri Besar juga dalam mesyuarat menyarankan agar kami semua lebih fokus dalam melaksanakan agenda kerajaan negeri dan membantu rakyat Kedah demi memastikan BN kekal meneraju," jelas Norsabrina kepada Kedahnews.com.

Sebelum itu, viral di ruang media sosial tentang dakwaan pihak tertentu tentang tahap kesihatan Ahmad Bashah yang dikatakan semakin terjejas dan tidak mampu menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan baik.

Keadaan semakin kecoh apabila sebuah ahkbar berbahasa Inggeris, The Star, menerusi penulisnya, Joceline Tan, mencetus spekulasi kononnya Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak akan membuat pertukaran jawatan Menteri Besar di empat buah negeri termasuk Kedah menjelang PRU ke-14 nanti.

Semalam, Kedahnews.com menyiarkan kenyataan balas dari sumber-sumber rapat Putrajaya yang menegaskan spekulasi di akhbar berkenaan adalah tidak benar dan hanyalah permainan tidak berasas pihak-pihak tertentu.

Manakala kelibat Ahmad Bashah yang disiarkan menerusi beberapa keping gambar terbaru beliau mengiringi Yang DiPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang berangkat pulang ke ibu negara kelmarin mematikan tohmahan di media sosial terhadap beliau.

Sementara itu, beberapa keping gambar Ahmad Bashah sedang menjamu selera di sebuah restoran di Alor Setar turut disiarkan Kedahnews.com semalam, menandakan Menteri Besar itu sihat sekaligus menafikan tohmahan yang dilempar terhadap beliau. -Kedahnews.com