Air Selut Masin Masuk Rumah, Tidur Tak Lena Di K.Kedah


KUALA KEDAH - Dua kampung di Kuala Kedah, di sini, dinaiki dan dimasuki banjir lumpur pada Ahad lepas.

Kampung Seberang Kota dan Kampung Padang Garam antaranya yang terjejas berikutan fenomena air pasang besar disertai angin kuat buat sekian kalinya empat hari lalu.

Difahamkan, kejadian banjir lumpur seumpama itu merupakan kejadian pertama selepas 18 tahun kawasan berkenaan dinaiki air seperti mana pada tahun 1998.

Sehingga semalam, kesan banjir lumpur masih boleh dilihat di kebanyakan kediaman penduduk, meskipun fenomena air pasang sudah berakhir.

Tinjauan wartawan  turut mendapati perkarangan kediaman penduduk bergenang air lumpur, kayu perabot mengembang dan pokok ditanam layu serta hampir mati akibat terkena air masin itu.

Air selut masin masuk rumah

Menurut penduduk, Othman Din, 75, mereka sekeluarga tidak menyangka air berlumpur akan masuk ke rumah apabila air pasang pada Ahad lalu.

“Tidak dinafikan, fenomena air pasang kerap berlaku di Kuala Kedah ketika bulan Islam iaitu pada hari ke 15 ataupun 30 dan ke atas pada setiap bulan.

“Namun, ini kali pertama air selut masuk ke rumah selepas lebih 18 tahun. Jadi, pak cik tidak sempat bersedia apabila air masuk ke dalam rumah,” katanya.

Lebih mengejutkan, katanya, fenomena air pasang besar kali ini membawa air berlumpur sebanyak dua kali iaitu pada petang Ahad dan awal pagi Isnin.

Katanya, peralatan dan perabot dalam rumahnya yang dinaiki air selut separas betis kaki bukan setakat kotor, malah ada tidak boleh digunakan lagi kerana gagal diselamatkan.


Untuk itu, katanya, dia bangun sekitar jam 2 hingga 4.30 pagi berkali-kali untuk melihat keadaan sungai di hadapan rumah demi memastikan sempat mengangkat barang ke tempat tinggi.

Tidur tidak lena

Begitu juga seorang kakitangan swasta, Ramli Md Yusof, 40, turut resah berikutan cuaca buruk dan musibah alam menimpa mereka sekeluarga baru-baru ini.

Kata Ramli, dia merasa resah dan hatinya tidak tenang hingga mengambil keputusan berjaga malam kerana bimbang air naik sekali lagi tanpa dijangka.

“Disebabkan kejadian berlaku tanpa diduga selepas berpuluh tahun, saya terus berjaga akhir-akhir ini, apatah lagi setiap kali mendengar bunyi hujan turun dengan lebat,” katanya.

Ramli berkata, banyak peralatan, terutamanya mesin basuh dalam rumahnya tidak dapat diselamatkan apabila air selut masin naik mengejut dalam kejadian beberapa hari lepas itu.

Disebabkan itu, katanya, dia bimbang beberapa barang lain dalam rumah berkenaan mengalami nasib sama, jikalau dia terlambat apabila air naik mendadak sekali lagi.

Katanya, mereka perlu berhati-hati menghadapi kemungkinan berlaku lagi kejadian seumpama sedemikian  pada hari 30 dalam bulan Islam tidak lama nanti.

Cuci rumah tak selesai

Manakala, Ismail Md Rashid, 53, mereka masih tidak selesai mencuci kediaman dan membaiki kerosakan perabot yang terjejas dalam kejadian air pasang besar itu.

“Pada hari kejadian, air selut masuk memenuhi rumah dalam tempoh 15 minit rumah sahaja. Jadi, kami sekeluarga terus mencuci apabila air surut,” katanya.

Namun pun begitu, katanya, gelombang air pasang kedua lebih besar berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika mereka masih sedang mencuci dan mop lantai,” katanya.

Katanya, mereka mengambil masa disebabkan kerosakan peralatan lebih teruk dan kekotoran disebabkan air selut masin sebenarnya lebih sukar dibersihkan, jika dibandingkan air tawar.

Menurutnya, mereka sekeluarga sedih mengenangkan kerugian dialami sehingga dijangka mencecah RM10,000.

 Sementara itu, adik iparnya, Rosli Harun, 44, terpaksa membeli batu kerikil untuk ditambun di perkarangan kediaman untuk memudahkan pergerakan mereka, memandangkan kawasan perkarangan kediaman yang lecah dengan kesan selut.

Menurutnya, bukan setakat kediaman mereka terjejas, sebaliknya sawah padi yang dimasuki air masin kemungkinan tidak dapat diusahakan untuk musim kedua tahun ini dan berharap fenomena air pasang lebih besar dijangka pada Oktober tidak berlaku, kerana tidak larat menanggung kesan kejadian banjir lumpur itu.

Sumber: Sinar Harian