Ako Mustapha Tempelak Artis Baru Tiada Kualiti


Pelakon senior, Ako Mustapha meluahkan rasa kecewanya terhadap industri seni tanah air berikutan kehadiran pelakon baharu yang dirasakan tiada kualiti dalam menggalas sesuatu watak atau peneraju sesebuah drama atau filem.

Tidak dinafikan pelakon-pelakon baharu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan ini banyak memonopoli siaran-siaran drama di kaca televisyen mahupun layar perak.

Menurut kenyataan Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 44, menerusi Mstar Online, kebanyakan pelakon baharu yang dipilih hanya berdasarkan rupa paras dan bukannya kualiti lakonan mereka.

“Kualiti hero sekarang sudah menurun, siapa sahaja boleh jadi hero jika ada wajah yang kacak.

“Mereka terus diberi peluang pegang watak utama tanpa watak-watak kecil terlebih dahulu. Tahap lakonan atau kualiti sudah tidak penting,” katanya.

Tambah pelakon ini lagi, peluang menerajui sesuatu watak utama atau sampingan seharusnya diberikan sama rata kepada pendatang baharu yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman di dalam bidang lakonan tanpa mengira rupa paras.

“Ramai graduan yang ada ilmu tentang seni persembahan dan lakonan tapi tidak diberi peluang kerana kekuranga pakej rupa paras.

“Bukan sahaja pelakon, malah pekerja-pekerja di belakang tabir juga saya lihat ramai yang tiada ilmu. Siapa pun boleh bekerja sebagai jurukamera atau pengarah,” jelasnya.


Meskipun kelibatnya tidak kelihatan membarisi drama atau filem tanah air sejak akhir-akhir ini, Ako memberitahu dia kini sedang memberikan tumpuan kepada bidang perniagaannya.

Namun masih menerima tawaran berlakon daripada produksi rakan yang memerlukan khidmatnya. Difahamkan juga, Ako bakal kembali aktif dalam industri sebagai pengarah dan penerbit. –Kedahnews.com