SIAPA tidak suka gambar atau status dimuat naik dalam laman sosial mendapat ribuan like, di samping komen pujian bertalu-talu daripada rakan yang terdapat dalam saluran tersebut.
Mufti Zimbabwe, Ismail Musa Menk bagaimanapun mengingatkan masyarakat terutama umat Islam supaya berhati-hati memuat naik status atau gambar di media sosial yang boleh menjadi tatapan umum.
Sebaliknya, pendakwah terkemuka antarabangsa itu menasihatkan umat Islam agar menghayati pengajaran kisah Nabi Yusuf a.s. yang ditunjukkan ayahnya, Nabi Yaakub a.s., supaya merahsiakan kelebihan dikurniakan oleh Allah SWT kepada dirinya daripada umum termasuk abangnya sendiri.
“Allah berfirman bermaksud: “Yusuf berkata kepada ayahnya, “Wahai ayahku, sesungguhnya aku telah bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan, ku lihat semuanya sujud kepada ku.” (Yusuf: 4)
“Ketika Nabi Yusuf bertanya kepada bapanya iaitu Nabi Yaakub, baginda telah pun mengetahui bahawa Allah ingin mengangkat darjat anak ini (Nabi Yusuf sebagai tanda kenabian), tetapi Nabi Yaakub tidak memberi tahu perkara sebenar, sebaliknya mengambil pendekatan berbeza iaitu meminta Nabi Yusuf merahsiakan mimpinya itu.
“Dia (Nabi Yaakub) berkata, “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, mereka akan membuat tipu daya (untuk membinasakanmu). Sungguh, syaitan itu musuh yang jelas bagi manusia.” (Yusuf: 5),” katanya.
Mengaitkan pengajaran tersebut dengan fenomena yang berlaku kini, Mufti Menk berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan manusia daripada mendapat penyakit buruk atau kesan negatif yang wujud daripada pengaruh ain (penyakit akibat pandangan).
“Semua yang berlaku dalam kehidupan harian, kamu ceritakan kepada orang lain dengan memuat naik gambar dan menulis pelbagai perkara termasuk hal peribadi. Sehingga setiap kali selepas makan kita menggantikan profil gambar dan status ‘aku makan di sini, aku berada di hotel itu dan ini.’
“Berhati-hatilah. Telah ramai orang yang menderita dan ditimpa nasib malang akibat penyakit yang dinamakan ain. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud; “Pengaruh ‘ain’ itu benar, sekiranya ada sesuatu yang boleh mendahului takdir, ‘ain’ lah yang dapat melakukannya.” - Riwayat Muslim
“Apa yang dimaksudkan dengan penyakit ‘ain’ ini antaranya adalah hasad dengki. Adakah kamu percaya semua pelayar media yang melihat gambar kamu itu suka dan tidak berasa cemburu dengan kegembiraan yang kamu nikmati? Inilah yang mengundang kepada penyakit ‘ain’,” jelasnya.
Mula menghafal al-Quran pada usia sembilan tahun, Mufti Menk menghabiskan hafalan 30 juzuk al-Quran pada usia 12 tahun. Beliau mempelajari bahasa Arab, Urdu dan mendalami Mazhab Hanafi sejak kecil bersama bapanya, Musa Menk yang menamatkan pengajian di Mazahirul Uloom Shahjahanpur, India.
Setelah mengkaji mazhab, Mufti Menk melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Madinah dalam pengajian Ijazah Syariah mazhab yang empat.
Mufti Menk berkata, al-Quran telah menggariskan panduan kepada manusia untuk dijadikan rujukan agar setiap perbuatan yang dilakukan bertepatan dengan syariat, di samping mengelakkan sebarang kebinasaan berlaku.
“Terdapat dua pengajaran yang boleh diambil menerusi kisah tersebut iaitu pertama, ketika saudara-saudara Nabi Yusuf memasuki istana untuk mendapatkan makanan, Nabi Yaakub berkata, ‘masuklah secara berasingan’. Ulama menjelaskan menerusi kitab tafsir, antara alasan perbuatan itu adalah agar orang ramai tidak melihat kesenangan mereka, sekali gus mengundang perasaan dengki.
“Di sini juga, Nabi Yaakub berkata kepada Nabi Yusuf supaya tidak menceritakan mimpi itu kepada saudara-saudaranya. Mengapa?, supaya mereka tidak merancang sesuatu yang buruk kepada baginda,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tidak salah untuk memuat naik sebarang status atau gambar, tetapi perlulah digunakan dengan perkara yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.
“Ini bukan bermakna kita perlu menjauhi atau membuang terus teknologi dalam hidup kita, tetapi apa yang ingin saya sampaikan adalah gunakanlah kemudahan ini dengan sebaik mungkin. Berkongsilah sebarang maklumat yang boleh memberi manfaat.
“Tidak salah juga kadang-kala kita ingin berkongsi kegembiraan bersama orang lain, tetapi cukuplah sekadar mereka yang kamu percayai atau orang terdekat seperti suami kepada isteri, anak kepada ibu bapa dan saudara mara.
“Hayatilah kisah Nabi Yusuf, abangnya sendiri mempunyai hasad dengki terhadapnya. Ini kerana, bukan semua orang baik atau ikhlas terhadap kita.
“Ada orang baik tetapi boleh bertukar menjadi sebaliknya, jika hasutan buruk masuk ke dalam hati mereka, disebabkan perkara tertentu,” katanya.
Sumber: Utusan