Anak Nik Aziz Sindir Pedas "Murid TGNA"

KUALA LUMPUR – “Memang ‘rare’ murid tok guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ni,” kata Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh.

Kata beliau, sewaktu bapanya (Nik Abdul Aziz) masih hidup, anak murid bapanya itu sering ‘menjaja’ kononnya bapanya akan menuruti apa sahaja kata-katanya.

“Lepas tok guru meninggal pun, dia masih beritahu orang bahawa kalau masih hidup, tok guru akan ikut dia tinggalkan PAS dan masuk parti baru (Parti Amanah Negara).

“Nampaknya, sampai mati tok guru istiqamah ikut dia. Memang ‘rare’ murid tok guru ni sorang,” katanya dalam satu kenyataan ringkas berbaur sindiran di Facebook beliau hari ini.

Kenyataan Nik Mohamad Abduh itu dipercayai merujuk kepada tindakan bekas pemimpin PAS, Datuk Husam Musa yang kini menyertai Parti Amanah Negara (PAN).


Husam baru-baru ini cuba menyamakan perjuangan PAN dengan perjuangan Nik Abdul Aziz bagi menghasut ahli PAS menyertai PAN.

Kata Husam, ahli PAS yang mahu mencontohi perjuangan Nik Aziz perlu menyertai PAN kerana perjuangan parti itu menyamai kehendak perjuangan Islam yang diamalkan ulama itu.

PAN ditubuhkan oleh beberapa pemimpin PAS dengan diketuai Presidennya, Mohamad Sabu bagi menggantikan PAS sebagai parti Islam dalam Pakatan Harapan.

PAS disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang pada tahun lalu kerana enggan tunduk kepada desakan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam beberapa isu akidah Islam. –Kedahnews.com