Anina Tarik Balik Rayuan Saman PM, Bayar Kos RM5,000

PUTRAJAYA – Bekas anggota Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin menarik balik rayuan mengenai penolakan samannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan setiausaha eksekutif UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh berhubung isu derma RM2.6 bilion.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib dan Ab Rauf, ketika dihubungi berkata peguam yang mewakili Anina memfailkan notis untuk tidak meneruskan rayuan itu bulan ini.

“Anina menawarkan untuk membayar kos RM5,000 dan kami bersetuju. Dengan itu, berakhirlah perkara mengenai saman yang dikemukakannnya terhadap Najib dan Ab Rauf,” kata beliau.

Sementara itu, ketika dihubungi, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Anina, berkata notis berkenaan difailkan pada 22 September berikutan keputusan Anina untuk menarik balik rayuannya kerana ingin meneruskan perjuangan melalui platform lain – parti politik, PPBM.

Beliau berkata adalah tidak munasabah bagi Anina meneruskan rayuannya kerana dia tidak lagi menjadi anggota UMNO.

Mohamed Haniff berkata oleh kerana Anina menarik balik rayuannya itu, yang ditetapkan untuk didengar hari ini, maka bagi berlaku adil kepada pihak yang terlibat dengan kes itu yang telah membuat persiapan mengenai kes mereka, Anina bersetuju membayar kos.

Pada 12 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak saman sivil Anina terhadap Najib, yang juga presiden UMNO, dan Ab Rauf.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan Najib dan Ab Rauf untuk mengetepikan saman itu selepas memutuskan bahawa Anina tidak mempunyai locus standi bagi memulakan tindakan kehakiman kerana dia bukan penyandang atau pemegang sebarang jawatan dalam UMNO.

Anina memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Ab Rauf, antara lain, untuk menuntut sebahagian daripada derma RM2.6 bilion, (US$650 juta) yang didakwa didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib di Singapura. – BERNAMA