DENGAN bulan September yang menjelang tiba, salah satu perkara yang dinantikan orang ramai adalah pengenalan telefon pintar Apple paling terbaharu, iaitu iPhone 7.
Perkara ini disahkan portal imore, apabila Apple mula menghantar jemputan media kepada media antarabangsa bagi satu acara dijadualkan berlangsung di Bill Graham Civic Auditorioum, San Franciso, Amerika Syarikat pada 7 September (8 September waktu Malaysia).
‘Pembocor rahsia’ EVleaks yang terkenal dengan meniriskan beberapa info lebih awal sebelum pengenalan sesuatu produk turut menyatakan, ia dijadual bermula pada awal September.
iPhone 7 dijangka akan membawakan rekaan seakan sama seperti iPhone 6S namun ia dikatakan tidak mempunyai port untuk audio-jack, selain menyertakan kamera yang lebih baik melalui telefon pintar baru mereka.
Mengikut sejarah sebelum ini, Singapura sentiasa berada di gelombang pertama jualan. Jika anda mahu jadi yang terawal memilikinya, bersiap sedia untuk melawat Singapura pada 16 September nanti. Apatah lagi, ia adalah hari cuti awam di Malaysia.
Seperti acara sebelum ini, orang ramai turut boleh menonton pelancaran ini secara langsung melalui laman www.Apple.com menggunakan komputer Mac atau peranti iOS. Untuk pengguna PC, ia boleh ditonton secara khusus menggunakan pelayar Microsoft Edge. –Kedahnews.com