Asrama Puteri "Keras" Di Besut Makin Pulih

BESUT – Sebuah bilik asrama perempuan di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang terpaksa dikosongkan sejak tiga tahun lalu kerana didakwa terdapat ‘gangguan’ dipulihkan menerusi kaedah rawatan Islam.

Usaha ‘membersihkan’ bilik asrama itu dikendalikan pengasas Pusat Rawatan Islam Al Qalam, Datuk Seri Baharuddin Abu.

Menurut Baharuddin, beliau sebelum itu dimaklumkan sebuah bilik asrama tersebut terpaksa dikosongkan kerana penghuninya mendakwa sering mengalami ‘gangguan’ misteri.

“Alhamdulillah selepas tempat itu dipulihkan dengan menggunakan kaedah rawatan alternatif secara Islam, suasana asrama berubah menjadi semakin ceria dan tenang malah pelajar mengakui merasai perubahan pada bilik asrama berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengendalikan Program Sentuhan Kasih Al Qalam Malaysia di SMK Nasiruddin Shah anjuran Persatuan Ibu Bapa, komuniti dan pihak sekolah yang berlangsung selama dua hari di sekolah berkenaan.

Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Hadir sama, Pengetuanya, Wan Zahari Ali.

Program tersebut memberi manfaat bukan sekadar kepada pelajar sekolah tetapi keseluruhan warganya termasuk ibu bapa kerana berpeluang mendapat rawatan secara percuma.

Turut rawat masalah kesihatan


Baharuddin berkata, selain rawatan berkait gangguan makhluk halus, rawatan alternatif menggunakan ayat suci al-Quran juga membabitkan ibu bapa dan warga emas yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit sendi, sengal badan, dan pening kepala.

“Umpamanya seorang pesakit kanak-kanak berusia 8 tahun yang sebelum ini sering kebas kaki telah menunjukkan perkembangan positif seperti badan terasa ringan dan tidak kebas lagi selepas mendapatkan rawatan,” katanya.

Kira-kira 300 orang mendapatkan rawatan sepanjang program itu, malah pengetua, Wan Zahari turut mencuba rawatan dijalankan Baharuddin yang berlandaskan syariat Islam.

Selain memberi rawatan alternatif percuma, pertubuhan tersebut turut melaksanakan program tazkirah dan motivasi kepada pelajar.

Menurut Baharuddin, pelajar diberi tazkirah agar menjaga solat dan sentiasa berwuduk kerana dua amalan tersebut dapat menjauhkan seseorang didekati syaitan.

“Pelajar perempuan pula diingatkan supaya menjaga kebersihan terutama ketika haid kerana perempuan dalam keadaan demikian mudah terdedah kepada gangguan syaitan dan jin.

“Sementara slot motivasi dipimpin Timbalan Presiden Pertubuhan, Roslan Salleh turut memberi kesedaran kepada pelajar tentang pengorbanan ibu bapa, sejarah kenegaraan sempena Hari Kebangsaan dan acara lain,” katanya.

Pertubuhan itu turut menyampaikan sumbangan kepada 100 pelajar sekolah daripada kalangan keluarga miskin dan anak yatim.

Ujar Baharuddin lagi, program di sekolah itu merupakan program pertama di negeri ini dan sebelum ini diadakan di Puchong, Selangor.

Bagi Pehimi, program itu memberi manfaat berguna kepada semua pihak terutama pelajar dalam memastikan mereka dapat belajar dengan baik.

“Kaedah rawatan secara Islam yang digunakan pertubuhan ini dapat membantu menyelesaikan masalah dengan izin ALLAH terutama berkaitan kerohanian malah mereka turut memberi motivasi pelajaran kepada peserta,” katanya.

Sumber: Sinar Harian