Awas Jangan Sampai Tertipu Pegawai KPDNKK Palsu

Antara barangan yang dilupuskan di mana keseluruhannya mencecah 48 kes dengan nilai rampasan bernilai RM317,244.
SUNGAI PETANI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menasihati peniaga agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang didalangi individu menyamar pegawai KPDNKK.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Kedah, Shahrudin Hamzah berkata, pihaknya meminta peniaga yang pernah berurusan dengan KPDNKK agar sentiasa berhati-hati dengan pihak yang mengambil kesempatan dengan cara terbabit.

Menurutnya, kes penipuan membabitkan individu menyamar KPDNKK dilaporkan berlaku di sini apabila ada pihak mendakwa membuat bayaran kepada ‘pegawai’ itu bagi menyelesaikan kes berkaitan barang rampasan.

“Kita nak nasihat peniaga yang ada kes dengan KPDNKK waspada dengan kegiatan ini kerana kita tidak pernah meminta sebarang bayaran bagi menyelesaikan sesuatu kes.

“Jika ada pihak yang hubungi minta bayaran nak selesai kes, minta rujuk balik, datang pejabat atau tanya ada tak kes sebegini dan pegawai sekian yang uruskan,” katanya ketika melakukan pelupusan eksibit Siri 3/ 2016 di sini, kelmarin.

Beliau memaklumkan, laporan polis pada 15 September lalu dibuat peniaga kerana memasukkan RM3,000 ke dalam akaun seorang individu yang didakwa pegawai KPDNKK bagi menyelesaikan kes barangan rampasan.

Bagaimanapun mangsa telah memasukkan wang yang diminta, namun apabila menghubungi pejabat, anggota menafikan pihaknya ada berbuat demikian.

Shahrudin berkata, susulan kejadian itu, pihaknya juga akan membuat laporan polis bagi membersihkan nama kementerian itu.

Dalam pada itu, katanya, 48 kes pelupusan eksibit membabitkan kes dari Cawangan Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Baling, Kubang Pasu dan Langkawi dengan nilai rampasan cecah RM317,244.

Selain itu, sebanyak 18,238 keping cakera padat/video turut dilupuskan, selain tiga kenderaan dan 105 barangan tiruan turut tersenarai.

Antara barangan lain termasuklah telefon bimbit, selipar, meja, kerusi, tong fiber, monitor kamera litar tertutup, pemain DVD dan lain-lain.

Kesemua eksibit adalah barangan rampasan sejak 2004 hingga 2015 membabitkan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Lansung dan Skim Anti Piramid 1993.

Sumber: Sinar Harian