Ayah Dan Ibu Nur Shakinah Dijangka Ke Perancis Sabtu Ini

Hanya Allah SWT sahaja yang tahu kebimbangan di hati Naim sekeluarganya.
ALOR SETAR - Ayah dan ibu siswi yang dilaporkan hilang di Perancis dijangka akan berlepas ke negara Eropah itu pada Sabtu ini dalam usaha menjejaki anaknya, Nur Shakinah Naim, 19, di sana yang dilapor tidak pulang sejak Jumaat lalu.

Naim Awang, 46, dari Kampung Masjid, Tikam Batu dan isterinya amat berterima kasih atas sumbangan dan keprihatinan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Mejar (B) Datuk Rahim Saad atas tajaan tiket kapal terbang, kos pengangkutan dan kemudahan untuk ke Perancis.

"Terima kasih tak terhingga buat semua yang membantu, kami di sini tidak henti-henti berdoa dan mengerjakan solat hajat agar segala kesulitan dipermudahkan," katanya ketika menerima kunjungan media di rumahnya, hari ini.

Selain media, turut hadir menziarahi keluarga Nur Shakinah adalah Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin, yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Mejar (B) Datuk Rahim Saad dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani, Mashitoh Mohd Yusoff.

Naim yang bekerja sebagai pesawah itu turut meluahkan rasa bimbang tentang keselamatan anaknya di sana dan ternanti-nanti sebarang maklumat terkini mengenai perkembangan kehilangan anaknya di sana.

"Saya berharap sangat ada maklumat terkini tentang anak saya dalam masa terdekat kerana seluruh ahli keluarga menantikan dengan penuh debar sebab nak tau apa yang sebenarnya berlaku," katanya.


Sementara itu, Shaiful Hazizy memohon kepada semua pihak supaya tidak mencetus sebarang spekulasi berhubung kehilangan Nur Shakinah bagi mengelak gangguan emosi keluarga itu, sebaliknya berterusan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan pelajar berkenaan.

Menyampaikan keprihatinan Ahmad Bashah dan sedikit sumbangan buat Naim sekeluarga, beliau menjelaskan bahawa Pejabat Menteri Besar akan cuba memenuhi keperluan keluarga itu dalam menghadapi musibah tersebut.

Manakala Rahim pula turut meluahkan rasa simpati atas musibah yang melanda keluarga tersebut selain meminta rakyat Malaysia berdoa agar urusan terbabit berjalan lancar.

"Umno Bahagian Sungai Petani juga akan menganjurkan solat hajat selepas Maghrib nanti di Masjid Pulau Sepom, Tikam Batu dan mengajak semua yang berdekatan untuk turut serta," katanya.


Nur Shakinah yang merupakan pelajar University of Technology (IUT) Roanne merupakan bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekula Jaya, Tikam Batu mengikuti pembelajaran di sana selepas mendapat tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak setahun lalu.

Nur Shakinah dilaporkan tidak pulang ke rumahnya sejak Jumaat lalu apabila keluar sehelai sepinggang, selepas bapanya menerima panggilan dari Kedutaan Malaysia di Perancis pada Isnin lepas. -Kedahnews.com