Azrel Mengaku Dah Setahun Bercinta, Tapi Ruhainies Sangkal

Jika sebelum ini aktor kacak, Azrel Ismail membuat pengakuan mengejut mengenai dirinya dengan Ruhainies sudah menjalinkan hubungan cinta selama setahun, lain pula yang keluar dari mulut pelakon mirip Nora Danish itu.

Ini berikutan, Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, menafikan hubungan cinta yang dilaporkan media itu.

Menurut Ruhainies, dia tidak pernah mengaku tentang hubungan istimewa itu dan lebih selesa berkawan rapat dengan pemuda berkenaan.

“Saya tahu ada kenyataan bercanggah tentang hubungan kami dan secara jujurnya kami tidak bercinta pun seperti dikatakan namun sekiranya ditakdirkan ada jodoh di antara kami saya tidak menolak.

“Bagaimanapun saya menghormati dia sebagai kawan baik dan turut mendoakan agar dia bertemu dengan wanita yang sesuai dengannya,” katanya, memetik mStar.

Dalam pada itu, Ruhainies mendakwa mereka tidak pernah keluar bersama-sama atas urusan peribadi dan kebiasaannya bertemu di majlis hiburan.

Terdahulu, Azrel membuat kenyataan menerusi sebuah akhbar sedang bercinta dengan Ruhinies dan hubungan itu telah pun mendapat restu keluarga. – Kedahnews.com