"Baca Al-Quran! Jangan Baca Facebook," - Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – “Baca Al-Quran!, jangan baca Facebook,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kegelisahan segelintir pemimpin dan ahli PAS ekoran pelbagai dakyah yang dilemparkan di media sosial berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Abdul Hadi melemparkan kata-kata itu sewaktu beliau dan beberapa pemimpin PAS lain membangkitkan perkara berkenaan kepada Presiden PAS sebelum ini.

“Saya mengadap presiden parti untuk memberi taklimat mengenai sikap dan pandangan awam terhadap PAS khasnya Presiden sendiri yang tegas membawa Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bagi maksud meminda Akta 355 ke Parlimen.

“Tuan Guru Presiden hanya mengulas sepatah ayat, Baca Al-Quran!, jangan baca Facebook,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin berkata, Abdul Hadi memberitahu Al-Quran tidak ada akaun palsu dan tiada kenyataan yang tidak benar daripadanya maka PAS tidak boleh terikut rentak mereka yang hanya membaca Facebook.

Katanya, orang boleh berkata apa sahaja dalam Facebook dan sebahagiannya adalah akaun palsu yang memang dicipta untuk menyerang PAS.

“Kita kena faham perancangan musuh. Mereka mahu cipta persepsi bahawa kita salah, bodoh dan macam-macam lagi. Ini perancangan musuh. Sebab itu kita kena baca Al-Quran,” katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dibawa oleh PAS di Parlimen bertujuan memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah bagaimanapun ditentang hebat oleh pemimpin Pakatan Harapan.

Malah, pemimpin Melayu DAP, Zairil Khir Johari pernah mendakwa pindaan ke atas akta itu akan mengundang pelaksanaan undang-undang hudud di negara ini.

Dakwa beliau, hudud jika dilaksanakan di Malaysia akan mengundang bias sosial ke atas golongan wanita, orang miskin dan masyarakat minoriti.

Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera memberi contoh hukuman sebat akan dikenakan ke atas mereka yang berzina, membuat fitnah dan minum arak manakala penjara ke atas mereka yang murtad atau berfahaman Syiah. – Kedahnews.com