#Bajet2017: Skim Bantuan Pembeli Rumah Pertama Akan Diumum

KUALA LUMPUR - Satu skim yang dirangka bagi tujuan memudahkan para pembeli rumah pertama di negara ini mendapat pembiayaan pinjaman bakal diumumkan dalam pembentangan Bajet 2017 tidak lama lagi.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, skim berkenaan adalah bagi menangani masalah rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang sukar mendapat pinjaman penuh daripada bank ekoran daripada gaji permulaan yang rendah.

Syarat bagi skim berkenaan adalah untuk pembelian rumah pertama dengan nilai RM300,000 dan ke bawah.

"Kami sedang berbincang dengan Bank Negara dan empat bank utama negara iaitu CIMB, Maybank, Ambank dan RHB Bank bagi mewujudkan pakej untuk menangani isu di mana graduan muda yang gajinya sekitar RM2,500 ke 3,000 yang mungkin sukar mendapat pinjaman penuh.

"Biarpun dengan deposit pembelian rumah pertama sebanyak RM30,000 disediakan kerajaan, tetapi sekiranya rumah itu bernilai RM300,000, mereka masih perlu meminjam RM270,000.

"Bank hanya boleh meminjamkan RM200,000 jadi wujudnya jurang di situ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sistem RMR Online melalui laman web SPNB bagi program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di sini semalam.

Beliau juga mengambarkan skim berkenaan akan melihat kepada mekanisme merapatkan jurang perbezaan antara pinjaman yang diperlukan pembeli rumah dan jumlah pinjaman yang layak dipinjam, khususnya bagi golongan muda.

"Mereka akan mendapat kenaikan gaji setiap tahun dan mungkin dalam masa lima ke enam tahun baru mereka boleh membeli rumah, tetapi rumah itu kemungkinan tiada lagi atau harganya meningkat kepada RM400,000 ke 500,000.

"Jadi, isunya sekarang adalah bagaimana hendak merapatkan jurang sementara menunggu gaji mereka meningkat. Jika isu ini tidak ditangani, akan wujud ketidakserasian dalam apa yang kerajaan cuba sediakan.

"Ia akan mewujudkan situasi di mana orang ingin membeli rumah tetapi tidak mampu dan PR1MA ingin membina rumah tetapi tidak dapat menjualnya," jelasnya, memetik laporan dari Astro Awani.

Katanya, butiran-butiran lanjut mengenai skim tersebut bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan Negara 2017 pada bulan depan. -Kedahnews.com