Bantu PPBM Kempen Ahli, Mahfuz Disindir Pedas Penyokong PAS


ALOR SETAR - Tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar yang turun padang membantu kempen keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini mengundang padah apabila beliau teruk dikecam netizen, khususnya penyokong PAS.

Memuat naik gambar beliau membantu kempen tersebut di laman page Facebooknya, ramai yang mempertikai tindakan Ahli Parlimen PAS itu yang tidak berkempen untuk parti sendiri, sebaliknya sanggup bersusah payah membantu parti lain.

"Kenapa ini trjadi..sedangkan Dato masih berstatus YB PAS. Berkempen untuk parti lain..melainkan dato berkempen Jom masuk PAS..tidak malukah Datu dgn kami anak muda yg ttp utuh berkempen utk rakyat untuk barsama PAS(istiqamah dlm perjuangan) jangan lah Dato mnjadi duri dalam daging..

"Jika Dato merasa tidak sesuai lagi bersama PAS letakkan jawatan YB(PAS) kosongkan kerusi yg diberi mandat oleh rakyat kepada Dato atas parti PAS..sekian Wasalam Dato," komen Farzman Farz.

"Mangkaq pnya YB. Lepas ni jgn dok undi dia ni. Hak seorang pemimpin yang telus adalaj perjuangkan yg hak dan batil. Yang mana salah kita tolak..yang mana betul kita sokong..

"Bantu segala masalah rakyat, fahamkan masyarakat ttg perjuangan Islam yang sepatutnya, kefahaman ttg RUU355 dll. Bukan talam dua muka. Smua bagi sokongan tetapi bila mai parti sendiri, bidas dan kondem," komen Akim AlFaizin pula.

Malah tindakan Mahfuz itu turut dikritik pedas oleh seorang netizen yang dipercayai penyokong PAS.

"Punoh doh ore lagu neh..kejo dgn syarikat jualan kereta tp dok promot untk syarikat jualan motoboat..parok klu ado lg ore2 supo neh dlm pas.," komen Mohd Hasriz Hasan.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga disindir tajam dengan mengingatkannya kembali tentang ceramah politiknya yang sering memaki hamun Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

"Dato yg maki hamun Chek det dulu kan?? hahahaha", tulis Abdul Munir Munet.

Mahfuz kini dikatakan lebih cenderung menyebelahi gerombolan bekas pemimpin PAS yang dilabel "pengkhianat parti" dan beliau tidak segan silu untuk memuat naik gambarnya dengan pemimpin muda Parti Amanah Negara (PAN) sebagai gambar utama page miliknya itu.

Beliau juga dilihat amat mesra dengan para pemimpin pembangkang dari PAN, DAP, PKR dan terbaru, PPBM, selain sering membuat kenyataan yang bertentangan dengan kepimpinan PAS di peringkat pusat.

Walau bagaimanapun, Mahfuz sebelum ini menjelaskan beliau menolak untuk menyertai PAN secara rasmi sebagaimana rakan-rakan rapatnya yang lain, namun Ahli Parlimen Pokok Sena itu dijangka akan menyertai Bersih 5 pada November ini walau PAS enggan hadir dalam himpunan berkenaan.

Desas-desus turut tersebar di peringkat akar umbi mengatakan Mahfuz mungkin tidak akan disenaraikan sebagai calon PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti, mencetus spekulasi mendakwa beliau mungkin akan bertanding atas tiket parti lain. -Kedahnews.com